Debaran ramai pihak menanti keputusan kes rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Rayuan Putrajaya belum berakhir.
Asalnya keputusan penal hakim pada rayuan bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman, empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dijangka dibuat petang ini.
Namun gara gara Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin alami sakit tekak prosiding terpaksa ditangguhkan kepada 17 April depan.
“Saya mohon, mahkamah membenarkan prosiding ini bersambung selepas sambutan Aidilfitri pada bulan hadapan.
“Sebolehnya saya mahu habiskan hujahan hari ini juga, namun saya tak tahu nak buat macam mana dah sebab sakit,” katanya.
Beliau beritahu demikian di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.Dua lagi penal hakim ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Wan Shaharuddin berkata, banyak fakta yang perlu dihujahkan dan beliau memerlukan antara 45 minit untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesukaran berbicara menyebabkan hasrat berkenaan tidak dapat diteruskan.
Syed Saddiq membuat rayuan bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Armada.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya beliau didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Seperti prosiding hari pertama semalam ibu bapa serta keluarga Syed Saddiq hadir di mahkamah.
Namun yang mencuri perhatian ramai ialah kehadiran Bella Astillah sejak semalam.
Sementara itu mengulas mengenai penangguhan itu Syed Saddiq berkata, walaupun beliau memahami situasi itu di luar kawalan sesiapa, penangguhan berulang kali memberi kesan emosi yang mendalam.
“Sejujurnya saya mendoakan agar kedua-dua pendakwa raya segera sembuh dan kembali sihat, namun saya tidak dapat menafikan rasa kecewa sebagai seseorang yang telah lama menuntut keadilan,” katanya.
Syed Saddiq berharap tarikh baharu yang ditetapkan pada 17 April nanti akan menjadi tarikh muktamad bagi meneruskan proses rayuan.
Beliau menegaskan, setiap kali hadir ke mahkamah, harapannya hanya satu iaitu agar keadilan ditegakkan.
“Namun, penangguhan seperti ini menyebabkan penantian menjadi semakin panjang,” tambahnya.
Menurutnya, sejak kes itu bermula pada tahun 2020, beliau tidak pernah meminta sebarang penangguhan.
“Proses siasatan mengambil masa satu setengah tahun sebelum saya didakwa. Sepanjang perbicaraan berlangsung, saya tidak pernah memohon penangguhan meskipun ada masa saya sendiri tidak sihat,” jelasnya.- 20/3/2025
KEMASKINI: Bella minta doakan Syed Saddiq…
Jika sebelah pagi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Bella Astillah adalah wanita yang luar biasa… sebelah petang Bella minta orang ramai mendoakan Ahli Parlimen Muar itu.
Pelakon dan penyanyi itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai prosiding hari ini.
“Doakan, saya tak tahu. Saya hormati keputusan mahkamah, tunggu esoklah ya,” katanya ketika ditemui di Istana Kehakiman, hari ini.
Terdahulu, Bella mencuri perhatian media apabila hadir ke prosiding berkenaan dan dilihat keluar bersama Syed Saddiq dari lokasi itu sekitar jam 3 petang.
Dia bagaimanapun mengakui kehadirannya adalah sebagai tanda sokongan, dan jemputan Ahli Parlimen itu dan dijangka hadir sekali lagi esok.
Sementara itu, Mahkamah Rayuan hari ini mula mendengar hujahan pihak pembelaan Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman berkaitan dana Armada.
Prosiding bermula jam 12.15 tengah hari, dengan panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memaklumkan bahawa mahkamah akan mendengar hujahan pihak perayu (Syed Saddiq) terlebih dahulu, sebelum mendengar hujahan pihak pendakwaan selaku responden esok.-19/3/2025

Bella wanita yang luar biasa… kata Syed Saddiq di mahkamah
Nampaknya memang ada ‘sesuatu sangat’ hubungan antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan artis Bella Astillah.
Bella hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 19 Mac mencuri perhatian wartawan yang menunggu apabila selebriti itu dilihat berada di samping Syed Saddiq Syed.
Bella kelihatan cantik mengenakan baju kurung ketika hadir di mahkamah pada jam 8.40 pagi.
Sementara itu, Syed Saddiq berkata Bella merupakan seorang wanita yang luar biasa.
“Saya terhutang budi dengannya,” kata ahli politik itu ketika sidang media.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 19 dan 20 Mac bagi prosiding pendengaran rayuan Syed Saddiq, 33, bagi sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Anak Muda Bersatu (ARMADA).
Sebelum ini, Bella pernah menemani ahli politik itu ke sidang sidang Dewan Rakyat, yang mana Syed Saddiq segak berbaju Melayu sementara Bella berbaju kurung dengan rona sedondon.

Untuk rekod, Bella merupakan bekas isteri kepada pelakon Singapura, Aliff Aziz yang melafazkan cerai talak satu terhadap Bella di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najid Wan Hamat di Mahkamah Rendah Syarie Wilayah Persekutuan pada 13 Jun 2024.
Hasil perkongsian hidupnya dengan Aliff, beliau dikurniakan dua orang anak, Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff lapan tahun dan anak perempuan Ara Adreanna Mohammad Aliff, lima tahun.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menyerahkan nasibnya dan berdoa supaya keadilan serta kebenaran dapat ditegakkan menerusi proses mahkamah hari ini.
Katanya, beliau sudah menunggu sekian lama untuk menuntut keadilan selepas disiasat sejak tahun 2020.
“Alhamdulillah tibanya juga hari ini. Saya berada di pintu Mahkamah Rayuan dengan penuh sifat bermuhasabah dan yakin untuk menuntut keadilan dan kebenaran.
“Saya tidak minta banyak, hanya kebenaran dan saya yakin bahawa institusi kehakiman yang saya hormati, pertahan dan martabatkan adalah jalan yang terbaik untuk membersihkan nama saya,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq melalui satu kenyataannya memaklumkan akan memulakan proses rayuan selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pasukan peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik untuk segera melengkapkan rayuan berkenaan.
Syed Saddiq sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lalu.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.-19/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK