Thursday - 10, April 2025

Statistik Jawatankuasa Kabinet: Satu kematian setiap dua jam akibat kemalangan

Share

Satu kematian berlaku pada setiap dua jam akibat kemalangan jalan raya di negara ini, dengan nahas jalan raya berlaku pada kira-kira setiap 50 saat.

Angka yang menyedihkan ini dilaporkan ketika menghampiri musim cuti Hari Raya, apabila berjuta-juta warga di kota akan pulang ke kampung halaman.

Sepanjang 2024, Malaysia mencatatkan purata 1,729 kemalangan jalan raya setiap hari, dengan 14 kematian setiap hari.

Kadar kematian keseluruhan akibat kemalangan jalan raya pula ialah 0.8 kematian bagi setiap 100 kemalangan.

Perangkaan kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya yang dikeluarkan Jawatankuasa Kabinet secara harian bermula Mac ini menunjukkan bahawa, kemalangan cenderung meningkat dengan mendadak menjelang perayaan besar.

Kemudian terdapat penurunan pada hari perayaan, diikuti dengan peningkatan semula kadar kemalangan sebaik perayaan berakhir apabila trafik kembali normal.

Pada 2024, tiga hari yang merekodkan jumlah kemalangan tertinggi semuanya jatuh dalam tempoh seminggu sebelum Hari Raya, iaitu 2,185 kes pada 5 April; 4 April (2,160 kes) dan 6 April (2,156 kes).

Selepas jumlahnya menurun semasa tempoh perayaan, jumlah kemalangan kembali meningkat, dengan 2,146 kes dilaporkan pada 15 April 2024, iaitu empat hari selepas Aidilfitri.

Selain itu, hari Isnin muncul sebagai hari yang mencatat purata jumlah kemalangan tertinggi dalam seminggu iaitu 1,803, diikuti Jumaat (1,802) dan Selasa (1,796).

Sementara itu, Ahad menyaksikan purata jumlah kemalangan terendah iaitu 1,451 kemalangan.

Bagaimanapun, apabila melibatkan kematian di jalan raya, Ahad dan Sabtu adalah hari yang merekodkan keadaan terburuk dengan masing-masing dianggarkan merekodkan purata 15 kematian.

Di sebalik aliran kadar kemalangan ini, usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan keselamatan jalan raya berjaya menyumbang kepada pengurangan dalam jumlah kemalangan dan kematian semasa perayaan besar.

Sebagai contoh, operasi Ops Selamat 23 yang diadakan selama lima hari dari 28 Januari hingga 2 Februari 2025 sempena Tahun Baru Cina, berjaya mengurangkan kes kemalangan sebanyak 10 peratus, dengan 7,882 kes berbanding 8,784 dalam tempoh yang sama pada 2024.-21/3/2025

Read more

khabar terbaru