Khabar angin ini sudah lama berlegar dan akhirnya tuan tubuhnya yakni bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri menjawabnya.
Beliau yang kini sedang disiasat SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya telah menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Katanya beliau tetap memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Kebelakangan ini berlegar khabar angin bahawa 13 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertindak menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di media sosial.
Ahli Parlimen Bera itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah yang cuba memecahbelahkan hubungan dan menimbulkan kesangsian antara ahli-ahli Parlimen BN.
“Sebenarnya cerita ini sudah lama dan pada peringkat awal saya tidak mahu layan kerana perkara tersebut tidak benar tapi ia berterusan melalui tulisan dan video.
“Jadi akhirnya hari ini saya terpanggil untuk menjawab, perkara ini tidak benar kononnya sudah pun keluar tapi sebenarnya tiada siapa keluar UMNO atau BN (Barisan Nasional) sebaliknya kita kekal dalam kerajaan.
“Saya anggap mungkin ada niat kurang baik bila ada sebarkan cerita sebegini terutamanya terhadap saya sendiri dan ia merosakkan imej saya sedangkan saya selalu katakan tetap bersama UMNO,” katanya.
Ismail Sabri berkata, ahli-ahli Parlimen BN terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dan perkara itu dibuktikan menerusi beberapa tindakan seperti undi usul percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Beliau turut berharap penafian yang dilakukan itu dapat menamatkan sebarang desas-desus berkenaan.
“Apabila dibentangkan pada peringkat awal dulu, seluruh 30 Ahli Parlimen BN menyokong penuh usul yang dibawa dan setiap kali rang-rang undang dibawa, kita sokong sepenuhnya,” katanya.
Ismail Sabri disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dana dikaitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi program Keluarga Malaysia sepanjang dia menjadi perdana menteri antara Ogos 2021 hingga Nov 2022.
Kes itu disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa Ismail adalah suspek dalam siasatan itu berikutan penemuan kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16kg jongkong emas dalam ‘safe house’ yang dikendalikan oleh bekas pegawainya.- 23/3/2025