Thursday - 10, April 2025

Tarif elektrik baharu dimuktamad, kerajaan tampung kos pembekalan

Share

Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Cadangan itu mengambil kira kos pembekalan elektrik sebenar serta memastikan kadar yang lebih kompetitif dan mampan dalam jangka panjang.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan, komponen terbesar dalam pengiraan tarif asas adalah unjuran harga bahan api seperti arang batu dan gas, yang mengalami kenaikan ketara di peringkat global sejak tiga tahun lalu.

“Unjuran bahan api bagi tempoh RP4 (Regulatory Period 4) adalah lebih tinggi supaya ia mencerminkan harga bahan api sebenar pada masa kini. Namun, kerajaan telah memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025 dengan tampungan subsidi berjumlah RM5.96 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara.

Selain itu, ST bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi meneliti impak perubahan tarif elektrik terhadap harga barangan dan perkhidmatan bagi memastikan keseimbangan antara kebajikan sosial dan pembangunan ekonomi negara.

Dalam usaha meringankan beban rakyat, kerajaan turut meneruskan Program Rebat Bil Elektrik dengan pemberian rebat bulanan sehingga RM40 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.-24/3/2025

Read more

khabar terbaru