News

Company:

Friday - 11, April 2025

PM matikan kebimbangan berdepan tarif import 24% diumum Presiden Trump

Share

Dicelah kebimbangan keatas kedudukan ekonomi gara gara Presiden Donald Trump umum kenakan tarif 24 peratus keatas import barangan dari Malaysia,Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad tampil menjelaskan situasi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan memandangkan ekonomi negara yang kekal berdaya tahan.

Selain itu,katanya asas makroekonomi negara masih kekal kukuh.

Rabu lalu Presiden Amerika itu umum kenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.

Tarif baharu itu sebelum ini tidak dikenakan ke atas import dari semua negara yang berdagang dengan Amerika.

Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus.

Menerusi hantaran video menyentuh mengenai isu tarif itu Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif tindak balas terhadap Amerika.

“Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari perspektif ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 – 5.5 peratus perlu disemak semula. Bagaimanapun, buat masa ini, saya beri jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke AS pada minggu depan.

Katanya, Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindakan yang dilselaraskan.

“Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor yang dijangka terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif,” katanya.

Anwar berkata semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara.

“Kerajaan MADANI juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian kita – seperti yang digariskan oleh pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan lain-lain untuk membina daya tahan ekonomi dan industri Malaysia,” kata beliau.

Beliau berkata di peringkat serantau, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara jiran yang lain.

“Negara-negara ASEAN adalah antara negara yang dikenakan tarif tertinggi oleh AS. Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan memimpin usaha bagi mengekalkan rantaian bekalan yang terbuka dan berdaya tahan, dan memastikan suara kolektif ASEAN didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.

“Kita perlu sedar bahawa tarif kali ini mungkin permulaan kepada cabaran lebih besar dalam (landskap) ekonomi luar. Kita semua perlu bersedia dari segi mental untuk berdepan potensi cabaran lebih getir pada masa akan datang dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menjaga kemakmuran kita yang berterusan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha untuk menangani dan mengurangkan impak daripada tarif tersebut.

“Kita akan melakukan ini, bukan bersendirian dan bukan secara konfrontasi tetapi dengan kerjasama sahabat dan rakan-rakan, dan secara membina.

“Yakinlah, kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat kita, perniagaan dan pengeksport kita,” kata Anwar.- 6/4/2025

Read more

khabar terbaru