Tuesday - 8, April 2025

Dr Yusri Bakir Setiausaha UMNO Bahagian Tapah calon BN untuk PRK Ayer Kuning

Share

Teka teki siapa yang akan jadi ayam tambatan Barisan Nasional sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sudah terjawab.

Dr Yusri Bakir yakni Setiausaha UMNO Bahagian Tapah yang berusia 54 tahun ialah orangnya.

Nama beliau diumumkan oleh Pengerusi BN Perak Datuk Saarani Mohamad pada majlis di Tapah, Perak Isnin.

Yusri memiliki ijazah kedoktoran dalam pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan mengetuai Jabatan Pendidikan Islam sebuah maktab perguruan di Ipoh.

Beliau juga pengerusi sebuah badan amal pendidikan kanak-kanak di Tapah.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan tertinggi BN termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pakatan Harapan (PH).

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah; dan Setiausaha Agung, dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hadir sama Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Horaward Lee.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah pada 22 Feb lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian dilaksanakan pada 26 April.- 7/4/2025

Read more

khabar terbaru