Monday - 14, April 2025

Petronas terus salur bantuan di Putra Heights

Share

Petronas Gas Berhad (PGB) komited memberikan sokongan kepada individu dan keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya sebagai sebahagian daripada usaha membantu meringankan beban komuniti.

Dalam kenyataan media, PGB memaklumkan selepas kejadian, pihaknya sudah mengaktifkan pasukan tindak balas krisis dan kecemasan serta segera menggerakkan sumber termasuk sukarelawan dalam kalangan kakitangannya.

“Mereka antara yang terawal membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menyediakan tempat perlindungan sementara yang selamat kepada individu dan keluarga yang dipindahkan dari kediaman mereka.

“Sejak hari pertama hingga kini, lebih 100 kakitangan menjadi sukarelawan bagi menguruskan agihan makanan di PPS,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pihaknya juga membekalkan kira-kira 1,000 pek makanan setiap hari untuk mangsa di PPS berkenaan serta petugas barisan hadapan di lokasi kejadian.

“Dengan mengutamakan keselamatan dan kebajikan komuniti terjejas, PGB turut bekerjasama secara sukarela dengan hospital yang dikenal pasti dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memenuhi keperluan rawatan perubatan mangsa yang sedang menerima rawatan kecemasan.

“Selain itu, PGB bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, PGB juga bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam usaha bantuan lanjutan termasuk penyediaan penempatan transit bagi mereka yang memerlukan kediaman jangka masa panjang.

Bagi komuniti yang mengalami kerugian harta benda sama ada sebahagian atau keseluruhan, PGB dengan kerjasama Prihatin Selangor sudah mengagihkan lebih RM700,000 dalam bentuk bantuan kewangan.

Setiap isi rumah akan menerima sama ada RM5,000 atau RM2,500 bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.

Menurutnya, entiti lain dalam Kumpulan Petronas seperti PGB dan Yayasan Petronas turut menyumbang pek penjagaan yang mengandungi bekalan asas untuk keperluan individu dan keluarga terjejas.

PGB komited untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam inisiatif membina semula komuniti, di samping bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan bagi mengenal pasti punca insiden.

Keutamaan utama PGB kekal kepada keselamatan awam dan operasinya, serta memastikan kelangsungan bekalan gas negara.-8/4/2025

Read more

khabar terbaru