Ini berita baik untuk yang suka ke Thailand menggunakan jalan darat… tak lama lagi ada jambatan yang merentasi Sungai Golok selepas Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan pembinaannya.
Jambatan kembar itu bakal merentasi Sungai Golok yang akan menghubungkan Daerah Sungai Kolok di wilayah Narathiwat dengan Rantau Panjang di Kelantan, Malaysia.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Thailand, Anukul Prueksanusak memaklumkan bahawa Jabatan Lebuhraya Thailand diberikan kuasa untuk melaksanakan projek itu yang dianggarkan bernilai 292.65 juta baht dan dijangka mengambil tempoh 36 bulan untuk disiapkan.
“Peruntukan ini merangkumi pembinaan jambatan selari, kerja-kerja baik pulih jambatan sedia ada, serta jaringan jalan raya di sebelah Thailand.
“Kontrak antarabangsa FIDIC akan digunakan, manakala pihak Malaysia akan menguruskan perolehan dalam mata wang ringgit Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian antara Thailand dan Malaysia menetapkan perkongsian kos bagi pembinaan jambatan, manakala setiap negara akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan infrastruktur di wilayah masing-masing.
“Inisiatif bersama ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan budaya, di samping memenuhi keperluan pembangunan serantau,” katanya.
Anukul turut memaklumkan bahawa jambatan baharu itu akan digunakan bagi laluan trafik masuk ke Thailand, manakala jambatan sedia ada akan digunakan untuk laluan keluar.
“Pembinaan ini dijangka memperkukuh kesalinghubungan dalam segitiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), merangsang perdagangan rentas sempadan serta sektor pelancongan, mengurangkan kesesakan lalu lintas di pintu masuk sedia ada dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa jawatankuasa bersama akan ditubuhkan termasuk Jawatankuasa Penyelaras Projek (PCC) dan Jawatankuasa Pengurusan Projek (PMC) bagi memastikan pemantauan dan kelancaran pelaksanaan.
Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan nilai perdagangan keseluruhan mencecah AS$24.83 bilion (RM113.16 bilion).-9/4/2025