Monday - 14, April 2025

KEMASKINI: ‘Kelegaan sebentar’…kata PM mengenai penangguhan sementara tarif Trump

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sahkan Malaysia antara negara diberi penangguhan sementara selama 90 hari tarif timbal balik diumumkan oleh Presiden Donald Trump.

Beliau menyifatkan langkah terbaru itu terhadap lebih 75 negara rakan dagang Amerika termasuk Malaysia berikan ‘kelegaan sebentar’.

“Malaysia terlibat. Melegakan sebentar,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) pada Khamis.

Trump pada Rabu berkata, beliau telah mempertimbangkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik yang dikenakan ke atas rakan dagang negara itu “sejak beberapa hari lalu” dengan memetik penglibatan diplomatik dan muhibah sebagai faktor di sebalik langkah tersebut.

Penangguhan itu diumum 24 jam selepas tarif berkenaan berkuat kuasa pada 9 April.

Pengumuman itu juga dibuat pada hari yang sama beliau menaikkan tarif Amerika ke atas import China kepada 125%.

Anwar sebelum ini berkata kerajaan akan menghantar delegasi ke Amerika untuk membincangkan tarif berkenaan.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia mengalu-alukan langkah Amerika untuk menangguhkan sementara tarif lebih tinggi ke atas banyak rakan dagangannya.

Beliau bagaimanapun mengakui ketidaktentuan itu mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi ASEAN.

Dikalangan negara anggta ASEAN Kemboja dikenakan tarif berjumlah 49%, diikuti Laos (48%), Vietnam 46 %, Myanmar 44%,Thailand 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia kedua-duanya 24%, Filipina 17% dan Singapura pada tarif asas 10%.- 10/4/2025

Trump u-turn… umum tarif AS ditangguh kepada lebih 75 negara

Selepas mengucar-kacirkan pasaran saham di seluruh dunia berikutan perang ekonomi dengan China, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu buat ‘u-turn’ dengan menangguhkan tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang.

Strategi Trump itu dipercayai akibat tekanan China yang turut menaikkan tarif kepada produk-produk daripada Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, belum ada pengumuman rasmi apakah Malaysia termasuk dalam negara yang mendapat penangguhan tarif AS.

Langkah terbaru Trump ini disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor disebalik langkah itu.

“Saya telah mempertimbangkannya sejak beberapa hari lalu. Saya berbincang dengan Scott, Howard dan beberapa individu profesional lain… dan saya fikir keputusan ini dimuktamadkan awal pagi ini,” katanya merujuk kepada Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick.

“Ia ditulis dari hati, dan saya rasa kandungannya cukup baik.

“Ia ditulis sebagai sesuatu yang positif, bukan sahaja untuk dunia, tetapi juga untuk negara kita.

“Kita tidak mahu menyusahkan negara yang tidak perlu disusahkan — dan mereka semuanya ingin berunding,” katanya.

Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama Presiden Trump menaikkan tarif ke atas import dari China kepada 125 peratus.

Pada masa yang sama, lebih 75 negara menerima penangguhan selama tiga bulan daripada tarikh akhir yang akan menyebabkan mereka dikenakan tarif melebihi kadar asas 10 peratus, dengan sebahagian negara dijangka berdepan kadar lebih tinggi.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump menjelaskan bahawa keputusan penangguhan dibuat selepas menerima permintaan daripada negara-negara terlibat yang ingin berunding mengenai isu berkaitan perdagangan, halangan perdagangan, tarif, manipulasi mata wang dan bentuk tarif bukan monetari.

Beliau turut memuji negara-negara itu yang menurutnya tidak bertindak balas “dalam apa jua cara terhadap Amerika Syarikat”.

Pasaran saham bertindak balas secara positif terhadap keputusan itu, menyaksikan lonjakan bersejarah — dengan indeks Nasdaq melonjak lebih 12 peratus manakala Dow Jones meningkat lebih 7.8 peratus selepas mengalami kejatuhan ketara sepanjang minggu lalu.-10/4/2025

Read more

khabar terbaru