Monday - 14, April 2025

Kempen PRK Ayer Kuning : AWAS….denda sehingga RM500,000 jika sebar fitnah di media sosial

Share

Sudah menjadi kebiasaan pada musim kempen mana mana pilihanraya kecil (PRK) seperti di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning,Perak sekarang kalangan penyebar fitnah dan berita palsu di media sosial akan berada dalam mode aktif.

Namun jangan ingat mereka saja boleh ligat ‘buat kerja’.

Pada masa yang sama Kementerian Komunikasi juga pasang teropong pantau gejala ini sepanjang kempen PRK itu yang akan berlangsung sehingga tarikh PRK pada 26 April ini.

Penamaan calon pilihanraya kecil itu pada Sabtu semalam menyaksikan tiga calon bertanding.

Mereka ialah calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir, Abd Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang ditemui wartawan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, semalam awal awal sudah bagi ingatan.

Katanya pihak kementerian akan pantau bagi memastikan kempen pilihanraya kecil itu tidak disalahgunakan untuk menyebarkan berita palsu, bahan berunsur fitnah serta kandungan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Beliau menasihati semua pihak untuk berkempen secara bertanggungjawab dengan mengelak daripada memainkan isu sensitif.

“Saya nasihatkan untuk semua berkempen dengan baik dengan mengelak daripada menabur fitnah ataupun menggunakan elemen 3R dalam kempen terutama dalam media sosial kerana kita ada keupayaan untuk mengesan mereka yang menghantar mesej dan komen.

“Malah kita juga dengan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa 11 Februari lepas, sekiranya seseorang itu didapati bersalah mengikut Seksyen 233 maka dia boleh didenda sehingga RM500,000.

Fahmi menegaskan jumlah denda itu sangat besar.

“Jadi saya harap ini akan menjadi peringatan supaya kita mengelak daripada menabur fitnah sepanjang kempen dan pada setiap masa,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

Mengulas mengenai calon BN, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Mohamad Yusri mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan sekali gus mempertahankan kerusi itu.

“Saya telah bertemu dengan calon beberapa hari yang lalu dalam lawatan ringkas ke Ayer Kuning dan saya lihat beliau seorang yang bukan hanya berpengalaman dan berpendidikan. Saya lihat peluang setakat ini cerah tapi perlu diusahakan dengan baik,” katanya.- 13/4/2025

Read more

khabar terbaru