Wednesday - 16, April 2025

Kereta ‘perisai’ mewah dah sampai… lawatan tiga hari Presiden China ke Malaysia bermula Selasa

Share

Ketibaan kenderaan rasmi Presiden China, Xi Jinping, di Malaysia menarik perhatian orang ramai. Kereta sampai dulu, tuan badan belum sampai. Kereta perisai mewah buatan tempatan, Hongqi N701, yang kini menjadi perhatian dunia.

Hongqi, yang bermaksud “Red Flag” dalam bahasa Inggeris, ialah jenama kereta mewah di bawah syarikat FAW Car Co, iaitu pengeluar kereta tertua di China sejak 1959.

Sejak awal penubuhannya, Hongqi berfungsi sebagai pembuat kenderaan khas untuk pegawai tertinggi kerajaan China.

Model N701 yang digunakan oleh Presiden Xi adalah versi diubah suai daripada Hongqi L5, dan hanya 50 unit akan dibuat dalam tempoh 10 tahun.

Ia bukan sahaja eksklusif tetapi juga lebih mewah dan megah jika dibandingkan dengan jenama terkenal seperti Rolls-Royce Phantom.
Reka bentuk yang ‘gagah’ dan canggih

Kereta rasmi ini berukuran 18 kaki panjang, seberat sekurang-kurangnya 3.1 tan dan dikuasakan oleh enjin V12 turbocharged bersesaran enam liter dengan kuasa 408 kuasa kuda.

Meskipun besar dan berat, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 136 batu sejam (lebih 218 km/j).

Bahagian hadapan N701 menampilkan lambang ikonik Hongqi, dengan jalur bendera merah yang merentasi bonet.

Ia turut dilengkapi dengan dua pemegang bendera kecil pada bahagian sisi hadapan.

Mengikut jadual Presiden Jinping akan mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia bermula Selasa ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan bahawa lawatan dari 15 hingga 17 April itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sempena lawatan itu, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Sultan Ibrahim turut berkenan meraikan Presiden Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara.

Xi, yang diiringi oleh menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan China, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin kemudian akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota antara Malaysia dan China,” menurut kenyataan itu.

Anwar juga akan menghoskan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara Xi bagi 2025, yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Semasa lawatan negara terakhir Xi ke Malaysia pada 2013, kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Hubungan diplomatik Malaysia dan China terjalin sejak 31 Mei 1974. Kedua-dua negara, yang meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun lalu, menikmati hubungan dua hala yang kukuh.

Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).

Sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China.

Kementerian Luar menyatakan bahawa usaha ini akan diteruskan melalui dialog, kesalingpercayaan dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China.-14/4/2025

Read more

khabar terbaru