Saturday - 19, April 2025

Ini ulasan PM pasal isu bendera akhbar Sin Chew…

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulas mengenai isu bendera yang tidak lengkap di muka depan akhbar Sin Chew Daily menyifatkan kesilapan itu bukanlah soal yang ringan.

Namun beliau mahu akhbar itu diberi ruang untuk buat penjelasan.

“Ini bukan soal yang ringan dan kita mesti ikut proses undang-undang.

“Tetapi saya juga mesti beritahu supaya janganlah nampak kita agak berlebihan-lebihan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai isu berkenaan pada sidang media selepas menamatkan sesi lawatan kerjanya di Bangkok, Thailand.

Pada Selasa lalu, akhbar bahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi tidak lengkap Jalur Gemilang di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Jalur Gemilang yang dipaparkan adalah tanpa bulan sabit yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Sejurus menyedari kekhilafan itu, Sin Chew memohon maaf atas “kesilapan teknikal” tersebut. Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.

Di sebalik permohonan maaf itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, semalam memaklumkan bahawa ketua editor dan timbalan ketua penyunting akhbar tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Sin Chew Daily juga dilaporkan menggantung tugas dua editornya susulan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap itu.

Kesilapan itu juga mendapat kritikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Sementara itu satu aksi protes juga diadakan pagi ini di luar ibu pejabat Sin Chew di Petaling Jaya, Selangor, dengan beberapa aktivis hak Melayu menggesa pihak pengurusan Sin Chew Daily memecat dua pengarangnya itu.

Ketua Pemuda Perkasa Zool Amali Hussin dan lapan yang lain yang hadir menolak permohonan maaf Sin Chew Daily berikutan kesilapan akhbar tersebut.

“Kami Wira Perkasa Malaysia menolak permohonan maaf. Tiada maaf bagimu.

“Kami menuntut syarikat ini memecat kedua-dua editor itu.

“Jika tidak, Wira Perkasa Malaysia menggesa kerajaan, Kementerian Dalam Negeri menggantung lesen penerbitan kepada Sin Chew Daily kerana ia jelas mencalarkan imej Malayisa,” kata Zool Amali, juga dikenali sebagai Bozz Jebat.- 18/4/2025

Read more

khabar terbaru