
Tiada rombakan kabinet ekoran pemilihan PKR – PM
Kalau ada menduga akan berlaku rombakan kabinet ekoran pemilihan PKR yang menyaksikan ada Menteri dan timbalan Menteri tewas jawatan Ketua Cabang…sila lupakan kemungkinan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara jelas dan terang kata tiada rombakan akan dibuat.
Menurutnya pemilihan adalah urusan parti dan bukan hal kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.
Bercakap kepada wartawan di majlis rumah terbuka Kementerian Pengajian Tinggi,Anwar menjelaskan prestasi kabinet dinilai berasaskan komitmen Menteri dan bukan mainan politik.
Ditanya mengenai beberapa pemimpin kanan parti yang tewas dalam pemilihan Ketua Cabang Anwar secara berjenaka nyanyikan rangkap lagu popular Allahyarham P Ramlee “Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh, tunggu sekejap…”.
Antara menteri yang tewas dalam pemilihan Ketua Cabang ialah Nik Nazmi Nik Ahmad manakala Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim.- 21/4/2025