Kerajaan Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis di seluruh negeri itu mulai 1 Ogos.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco Terengganu pada 24 April.
Beliau berkata penguatkuasaan tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membendung penjualan dan penggunaan produk ‘vape’ yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat terutama generasi muda.
“Antara keputusan yang dipersetujui ialah kerajaan negeri mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk ‘vape’ selaras dengan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) Terengganu.
“Syarat lesen perniagaan pula akan diperkemas bagi memastikan larangan penjualan ‘vape’ dapat dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Sukairi berkata mana-mana pengusaha ‘vape’ yang masih menjalankan aktiviti perniagaan selepas tempoh larangan dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
Bagi menunjukkan komitmen dan ketegasan, kerajaan negeri juga memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar ‘vape’ bagi apa jua penganjuran acara melibatkan kerajaan Terengganu.
“Tempoh lanjutan selama tiga bulan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 akan diberikan sebelum aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Ogos termasuk melibatkan papan iklan berkaitan perniagaan ‘vape’.
“Bagi menjaga kebajikan pengusaha ‘vape’ yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus keusahawanan serta peluang perniagaan dalam sektor yang lebih mampan dan selamat,” katanya.
Sementara itu, kerajaan Selangor sedang meneliti secara menyeluruh cadangan untuk mengharamkan penjualan ‘vape’ di negeri itu, susulan saranan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor,Jamaliah Jamaluddin, berkata satu mesyuarat bersepadu akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan semua agensi berkepentingan dari negeri dan pusat.
“Kami mengambil serius isu ini dan akan memastikan pandangan daripada semua pihak berkepentingan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan.-25/4/2025