Kalau tak percaya cuba tanya orang di sana sini.Siapa yang tahu dimana lokasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning?
Kita akan dapati ramai yang garu kepala tidak tahu kawasan yang terletak tidak jauh dari Tapah,Perak ini.
Cuba tengok pada peta negeri Perak.Antara jalan mudah ke situ ialah menerusi bandar kecil Kampar selain ikut jalan dari Tapah.
Kawasan yang biasanya agak sunyi itu kebelakangan ini berseri kerana adanya perang poster dan ceramah serata ceruk dalam kehangatan kempen pilihanraya kecil (PRK) kerusi DUN Ayer Kuning.
Hari ini Sabtu 26 April ialah D-Day dimana 31,315 pengundi berdaftar akan membuang undi dalam PRK yang diadakan ekoran kematian wakil rakyat penyandang, Allahyarham Ishsam Shahruddin dari parti UMNO pada 22 Februari lalu.
Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

PRK ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dari parti UMNO , Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) dari parti PAS, Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ini adalah PRK ke-11 selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak
(Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).
Dalam konteks politik nasional atau peringkat negeri Perak…menang kalah mana mana antara tiga calon yang bertanding tidak akan mencetuskan perubahan pada tampuk kuasa.
Dari sudut pandangan umum BN menerusi calon UMNO pasti hendak berhempas pulas mempertahankan kerusi DUN yang ia tidak pernah kalah sejak tahun 1986 lagi manakala PN dan PSM hendak merebutnya.
Untuk rekod, PAS sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 namun semuanya berakhir dengan kekalahan.
Manakala calon PSM juga tewas semasa pilihanraya negeri 2022 di situ dengan mendapat 586 undi sahaja.
Namun di celah senario politik ini tersemat satu ‘impian besar’ UMNO untuk muncul sebagai pemenang yang bergaya dalam PRK ini.
Malah ada pemerhati politik yang menilai maruah UMNO jadi taruhan di PRK Ayer Kuning.
Maka tidak menghairankan bila Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menetapkan sasaran kemenangan dengan 18,000 undi.
Pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRK berkenaan di Temoh beliau kata sasaran berkenaan selari dengan keputusan yang diperoleh parti berkenaan bersama Pakatan Harapan (PH) pada pilihanraya lalu.
Menurut Saarani, mengikut data pada pilihanraya lalu sebanyak 75 peratus pengundi Ayer Kuning keluar mengundi dan BN menang menerusi Allahyarham Ishsam dengan 9,088 undi manakala PH pula dapat 6,875 undi.
Katanya jika dicampur BN 9,000 undi dan 6,000 undi PH jumlahnya 15,000 undi.
Ramai pemerhati yang menduga BN pasti menang PRK ini.Cuma kebanyakan mereka spektikal kemenangan boleh mencecah sampai 18,000 undi sekalipun BN dan PH turun padang sebagai satu pasukan.
Sasaran Saarani itu dikatakan mewujudkan tekanan yang hebat keatas jentera parti kerajaan perpaduan.
Namun ikut sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO Perak parti itu mahu tidak mahu perlu tunjuk taringnya pada PRK ini.
Katanya ini kerana realiti di depan mata ialah kedudukan UMNO dan BN dalam kancah politik negeri Perak telah susut teruk pada pilihanraya umum ke 15.
BN kehilangan banyak kerusi daripada 59 semuanya dalam DUN Perak.
BN sekadar memperoleh sembilan kerusi iaitu di DUN Temengor, Kota Tampan, Lintang, Belanja, Pengkalan Baharu, Chenderiang, Ayer Kuning, Rungkup dan Behrang.
Sebaliknya PN berjaya memenangi 26 kerusi DUN di Perak.
Keputusan itu bagaimanapun belum mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang memerlukan majoriti mudah 30 kerusi.
Kerusi-kerusi yang dimenangi PN ialah DUN Pengkalan Hulu, Temengor, Selama, Kubu Gajah, Batu Kurau, Titi Serong, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Gunung Semanggol dan Selinsing.
PN turut menang di Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering, Chenderoh, Lubok Merbau, Kamunting, Manjoi, Bukit Chandan, Manong, Sungai Manik, Kampung Gajah, Pasir Panjang, Pangkor, Changkat Jong, Bota dan Slim.
Sebanyak lima kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu iaitu Selama, Kubu Gajah, Kuala Kurau, Gunung Semanggol dan Sungai Manik juga berjaya dikekalkan, manakala 21 kerusi lagi pertama kali dimenangi gabungan tersebut.
PH pula berjaya memperoleh 24 kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu DUN Pokok Assam, Aulong, Jalong, Hulu Kinta, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Astaka, Malim Nawar, Keranji, Tualang Sekah, Sungai Rapat, Simpang Pulai, Teja, Hutan Melintang, Pasir Bedamar dan Sungkai.
Sekalipun cuma dengan sembilan kerusi DUN namum jawatan Menteri Besar diberi kepada orang UMNO yakni Saarani.
Berdasarkan latar belakang yang suram ini BN Perak sangat memerlukan suntikan kejayaan yang geger gempita untuk membolehkan ia berdiri tegak semula.- 26/4/2025 OLEH HIEKAL ROSLI