Wednesday - 30, April 2025

Kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa

Share

Kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula Khamis ini, sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula esok manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran yang telah stabil.

“Ini terbukti apabila bekalan telur semasa musim perayaan Aidilfitri lalu adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif,” kata kenyataan pada Rabu.

Tambah kementerian, sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion dalam bentuk subsidi kepada industri pengeluar telur bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia yang menyebabkan harga import jagung dan soya melonjak.

“Kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian subsidi dan kawalan harga terlalu lama adalah tidak mampan untuk kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” jelasnya.

Langkah penyasaran semula itu, menurut KPKM, juga dianggap lebih adil kerana subsidi sebelum ini turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Hasil penjimatan subsidi ini kelak boleh disalurkan kepada pembiayaan projek-projek tertentu demi kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai Madani,” kata kementerian itu lagi.

Bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, KPKM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah intervensi termasuk memperkenalkan telur gred khas pada harga berpatutan hasil komitmen pihak industri.

“Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” jelas kenyataan itu.

KPDN turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011), bagi membanteras aktiviti pencatutan serta manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di pro@kpkm.gov.my atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat KPKM di 03-8000 8000.

Untuk rekod, subsidi telur ayam diperkenalkan pada Februari 2022 bagi menstabilkan harga telur ketika berlaku kekurangan bekalan. Pada Oktober tahun lalu, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan bahawa pemberian subsidi akan dikaji semula sekiranya bekalan telur kembali stabil.-30/4/2025

Read more

khabar terbaru