Seramai 1 juta ahli kesatuan sekerja seluruh negara dapat buah tangan dari kerajaan sempena sambutan Hari Pekerja 2025.
Buah tangan itu adalah dalam bentuk Kad Pekerja MADANI yang memberi akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan.
Antaranya ia boleh digunakan di Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, SOCAR dan Bateriku.
Pemberian itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Khamis.
“Kad Pekerja MADANI untuk memberikan ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja ini, diberi diskaun dalam kemudahan itu,” katanya.
Bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa”, majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 pekerja awam dan swasta daripada pelbagai sektor.
Anwar kata kerajaan pimpinanya bertekad untuk terus mengangkat martabat pekerja ke tahap yang lebih baik tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit mahupun kepercayaan agama.
Serentak dengan itu beliau mengingatkan agar semua golongan pekerja tidak membenarkan unsur perpecahan yang berpunca daripada perbezaan kaum dan fahaman politik.
Katanya, jika perkara itu terus menghantui negara, ia akan menghalang kepada produktiviti dan perkhidmatan.
“Saya dan kerajaan komited untuk membela nasib semua pekerja walaupun majoritinya dalam kalangan orang Melayu, nasib anak-anak Cina, India, Dayak dan Kadazan-Dusun juga tidak boleh dipinggirkan. Jangan hanya santuni golongan atasan, tetapi wajib semua pekerja pelbagai peringkat hingga bawahan.
“Hari-hari kita membaca berita tentang perselisihan antara kaum, ini tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum adalah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar,” katanya.
Pada ucapan itu Perdana Menteri juga beritahu kekurangan yang dihadapi pekerja gig akan diselesaikan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
Beliau akui masih ada kekurangan terhadap beberapa aspek, yang memerlukan pembaikan khususnya dalam menjaga kebajikan kumpulan pekerja itu.
“Jangan halang kerajaan bela nasib pekerja gig, berilah sokongan kerajaan bentangkan RUU Pekerja Gig pada sidang (Parlimen) akan datang,” katanya.
Dalam pada itu Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, RUU pekerja Gig diusahakan kerana kerajaan mendengar keluhan kelompok pekerja itu yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis.
“Kerajaan mendengar keluhan anda yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti, hasrat pekerja gig untuk mendapat perlindungan perburuhan masih belum dicapai.
“Namun, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, kerajaan akhirnya sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang bersejarah.
“KESUMA telah membuat kajian, konsultasi, sesi libat urus, menerima input dalam talian, mengadakan town hall mega dan sudah 3,000 pemegang taruh dirujuk,” katanya.
KESUMA tidak akan berkompromi dalam usaha mendukung hak pekerja.
“Kami akan ‘go all out’ untuk melindungi pekerja kita. Apa pun yang terjadi, kami akan melindungi pekerja kami walau pun apapun berlaku. (Come what may, we will protect our workers at all cost).
“KESUMA berpegang kepada prinsip ekuiti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia waima di kala pandemik melanda, kegawatan ekonomi dan iklim perniagaan tidak harus dijadikan alasan untuk menindas pekerja,” katanya.
Pada Mac lalu juga, Steven Sim mendedahkan liputan perlindungan sosial dalam kalangan pekerja gig disifatkan masih rendah apabila sekadar mencatatkan 26 peratus berbanding 1.16 juta individu yang bekerja dalam sektor berkenaan di seluruh negara.
Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) dalam kenyataan sebelum ini juga memohon kerajaan supaya melaksanakan penyelesaian jangka panjang dalam usaha memastikan isu kebajikan, tugasan dan kesihatan mental pemandu e-hailing serta p-hailing ini diatasi segera.
GEM juga mendedahkan, ketika ini punca pendapatan tidak tetap yang bergantung kepada jumlah perjalanan dan penghantaran menjadikan pemandu e-hailing serta p-hailing terpaksa bekerja berjam-jam lamanya.- 1/5/2025