Ada satu soalan besar dalam parti PKR yang masih belum terjawab sehingga saat ini.
Jawapan pada soalan itu bukan susah sangat…kata orang pejam mata boleh dengar sana sini orang parti itu sedang bercakap.
Sebaliknya tuan punya badan masih mengelak nak jawab bila ditanya.
“Tunggulah, saya akan umumkan nanti… masih ada masa,” itu kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad ketika ditanya samaada hendak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.
Kalangan wartawan cuba korek jawapan dari beliau tentang hal ini pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta pangkalan haram, di Rantau Panjang.
Yang pasti Menteri Dalam Negeri itu kena berentap dengan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli jika beliau memutuskan nak masuk gelanggang.
Menariknya mereka berdua ada sejarah pernah berentap untuk jawatan nombor dua PKR itu pada pemilihan tahun 2022.
Saifuddin yang dapat 43,010 tewas ditangan Rafizi yang raih 59,678 undi.
Sepatutnya hari ini,Ahad sudah tahu apa keputusannya.
Ikut jadual asal pencalonan untuk pemilihan jawatan pimpinan pusat PKR berlangsung pada 3 dan 4 Mei.
Namun jawatankuasa pemilihan tunda proses berkenaan ke 8 dan 9 Mei ini.
Kebetulan ketika ini Rafizi sendiri sedang dilanda spekulasi gara-gara ambil cuti sebilangan hari dari tugas rasmi sebagai Menteri Ekonomi.
Ikut soksek gosip politik beliau didakwa merajuk kerana sebilangan orang kuatnya termasuk menteri tewas dalam pemilihan jawatan ketua cabang PKR.
Namun Pengerusi jawatankuasa pemilihan pusat Dr Zaliha Mustafa menafikan penundaan ini ada kaitan dengan isu Rafizi.
Dalam mengelak untuk beri jawapan kepada soalan utama yang ditanya wartawan,Saifuddin menjelaskan sepatutnya hari ini sudah perlu umum keputusan.
Namun dengan anjakan tarikh proses pencalonan ke 8 dan 9 Mei beliau masih ada masa lagi.
“Saya masih ada masa untuk istikharah,”katanya.
Saifuddin juga memberitahu baru-baru ini beliau telah adakan pertemuan dengan perbincangan selama empat jam dengan Rafizi.
Selain itu beliau turut berjumpa dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Saifuddin “pada masa sama, saya turut mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan perbincangan dengan (pihak parti peringkat) negeri serta cabang.
“Apa yang saya boleh katakan ialah proses perbincangan dan pertemuan itu sudah selesai.”
Menteri itu juga berkata “saya orang lama dan merasakan lebih banyak kalah daripada menang.
“Sebelum satu keputusan besar dibuat, saya bukan memikirkan soal menang atau kalah dalam parti, sebaliknya mahu melihat proses pemilihan berakhir dengan parti terus kuat dan mantap serta mampu menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
“Perkara ini yang lebih menjadi keutamaan kepada saya. Sekarang, kita ada 31 kerusi dan mahu menambah lagi bilangan kerusi untuk memantapkan PH,” katanya.
Selain itu,kata beliau mahu lihat Anwar berada diposisi yang mantap untuk kekal jadi Perdana Menteri pada penggal akan datang.
Apapun katanya memandangkan tempoh pencalonan dianjak empat hari lagi maka beliau akan buat pengumuman dalam tempoh yang munasabah.- OLEH HIEKAL ROSLI – 4/5/2025