Pendaki warga Malaysia yang dilaporkan terjatuh di laluan Banyu Urip, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat ditemui meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia pada Ahad.
Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR) memaklumkan pasukan SAR telah membawa keluar jenazah pendaki, yang dikenali dengan inisial, RAG, 57 tahun, dari bawah jurang sekitar 80 meter pukul 10.30 pagi waktu tempatan.
“Jenazah dibawa pasukan SAR sedang dalam perjalanan menuju ke pintu masuk pendakian Torean dan akan dibawa ke Hospital Polis (Bhayangkara) di Mataram untuk pengurusan jenazah,” kata BTNGR dalam satu kenyataan.
Berdasarkan maklumat daripada jurupandu dan rakan mangsa, insiden bermula sekitar pukul 11 pagi pada Sabtu apabila kumpulan pendaki berhenti untuk mengambil air minum di sumber mata air Banyu Urip, namun RAG terus berjalan dan tidak berhenti untuk berehat, kata pihak taman negara.
“Ketua kumpulan kemudian menyusul mangsa di laluan yang mempunyai tali susur tangan keselamatan untuk membantunya melintas namun mangsa enggan,” menurut kenyataan itu.
Semasa turun, BTNGR berkata mangsa tidak memegang tali susur tangan keselamatan di laluan itu dan pijakan kakinya meleset, menyebabkan mangsa hilang keseimbangan dan jatuh ke arah kanan di laluan pendakian.

Sementara itu, portal detikBali melaporkan, Ketua Tim Evakuasi Balai Taman Nasional Gunung Rinjani, Gede Mastika memberitahu RAG memulakan pendakian ke Gunung Rinjani bersama sekumpulan 23 warga Malaysia yang menggunakan khidmat pengendali pelancongan tempatan, Juan Adventure, diiringi empat pemandu arah dan sembilan porter mendaki gunung itu.
Katanya, mereka berlepas dari Segara Anak pada 8 pagi waktu tempatan menuju ke basecamp Torean dan sebaik tiba di tebing Banyu Urip sekitar 11 pagi, kumpulan itu berhenti untuk mengambil air serta berehat seketika.
“Mangsa meneruskan perjalanan seorang diri kerana sudah biasa mendaki di Malaysia. Namun ketua kumpulan kemudian menyusuli mangsa,” katanya.
Menurut Gede, ketika tiba di kawasan tali penghadang (railing) di laluan Banyu Urip, ketua kumpulan sempat menawarkan bantuan kepada Rennie untuk melintasi kawasan itu, namun mangsa menolak.
“Tanpa disedari, dalam sekelip mata mangsa sudah terjatuh,” katanya.
Beliau berkata, dua pemandu arah, Mawan dan Matur, yang mengiringi Rennie dan rakan-rakannya semasa pendakian, panik apabila melihat insiden itu berlaku.
Katanya, mereka segera memeriksa keadaan Rennie dan mendapati mangsa jatuh ke dalam jurang dalam di sebelah kanan laluan.
RAG memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.
Pihak taman negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa.
“Semoga kejadian ini menjadi peringatan bersama bahawa setiap langkah di alam memerlukan kerjasama, berhati-hati, dan harus mematuhi prosedur keselamatan.
“Alam sememangnya indah, tetapi juga tidak dapat diramal. Marilah kita menjaga diri, menjaga sesama kita,” nasihat BTNGR.-5/5/2025