Thursday - 8, May 2025

Sidang khas Parlimen: AS sedia runding lanjut, tarif mungkin dikurangkan – PM

Share

Sidang Khas Parlimen dimulakan dengan ucapan takziah susulan pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menyampaikan ucapan takziah dan memaklumkan bahawa negara telah memberikan penghormatan tertinggi kepada Allahyarham Tun Abdullah dengan menyemadikan jenazah di Makam Pahlawan.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang sederhana tetapi telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan awal termasuk dalam reformasi Parlimen. Beliau adalah sosok yang akan terus dikenang dan dipandang tinggi di sepanjang sejarah negara ini,” katanya.

Sebagai tanda penghormatan, semua Ahli Parlimen beragama Islam diminta berdiri dan membacakan surah Al-Fatihah, manakala Ahli Parlimen bukan Islam turut bertafakur selama seminit.

Sementara itu, menurut Anwar, kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk berunding lebih lanjut dengan Malaysia, sekali gus terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan sebelum ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata rundingan itu masih di peringkat awal dan belum ada sebarang persetujuan muktamad kedua-dua pihak.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

“Tambahan pula, segala perbincangan yang sedang berjalan tertakluk kepada `non-disclosure agreement (NDA)’, selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan membabitkan kepentingan strategik dan sensitif.

“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan, jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” katanya ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata kerajaan menolak dakwaan AS bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia.

Ini kerana, katanya, pengiraan AS berdasarkan nisbah mudah defisit dagangan AS dengan Malaysia berbanding jumlah import pada 2024.

“Dakwaan ini digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia iaitu pengurangan 50 peratus ke atas tarif 47 peratus yang dikatakan dikenakan oleh Malaysia ke atas import dari AS.

“Pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh. Hakikatnya secara purata, tarif dikenakan ke atas import barangan AS ke Malaysia hanyalah pada kadar 5.6 peratus dan ini diakui Pejabat Perwakilan Perdagangan AS dalam laporan `2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Program’ yang diterbitkan 31 Mac 2025,” ujarnya.

Anwar berkata sebagai salah satu rakan dagang terbesar negara, sudah tentu keputusan AS itu memberi impak yang ketara kepada prestasi eksport Malaysia ke AS, lantas menjejaskan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Kerajaan mengambil serius tindakan pengenaan tarif timbal balas (reciprocal tariff) ini. Justeru, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia.

“Alhamdulillah, kita secara agresif membuka ruang perdagangan baharu, meningkat kegiatan dengan rakan dagang sedia ada seperti BRICS dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di mana ini semua telah membuahkan hasil.

“Umpamanya, pertumbuhan eksport ke negara ASEAN telah meningkat sebanyak 4.2 peratus dan Kesatuan Eropah (EU) telah meningkat sebanyak 2.6 peratus manakala pertumbuhan eksport ke pasaran bukan tradisional pada tahun 2024 juga telah melonjak. Antaranya Mesir sebanyak 53.6 peratus, Pakistan sebanyak 29 peratus dan Kemboja sebanyak 30.1 peratus,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia dan AS telah mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang harmoni dan progresif sejak terpatrinya hubungan diplomatik pada 1957.

Jumlah perdagangan 2024 dengan AS merekodkan RM325 bilion, bersamaan 11 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.-5/5/2025

Read more

khabar terbaru