FOKUS

Dicelah tandatanya pasal dirinya…Rafizi tidak kemana dan hadir mesyuarat PKR semalam

Ini tidak pelik tetapi agak menarik.

Pada ketika ramai yang bertanya pasal Datuk Seri Rafizi Ramli yang ambil cuti tugas Menteri Ekonomi rupanya beliau tidak ke mana-mana.

Sebaliknya beliau telah menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Ahad,semalam.

Antara cakap-cakap tentang diri Timbalan Presiden PKR itu ialah berapa lama beliau cuti, ke mana beliau pergi dan mengapa menyepikan diri kebelakangan ini.

Apa lagi kebelakangan ini beliau berdepan dengan spekulasi kononnya hendak letak jawatan ekoran isu sebilangan orangnya kalah dalam pemilihan ketua cabang PKR baru-baru ini.

Entah kenapa Rafizi seperti ‘menghilang’…namun apa yang pasti Rafizi tidak kemana-mana.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beritahu wartawan pada Isnin Rafizi menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Ahad,semalam.

Mesyuarat MPP itu diadakan untuk membincangkan keputusan pemilihan PKR pada peringkat cabang.

“Semalam hadir…kita bincang keputusan… (semuanya) baik Alhamdulillah,” katanya selepas program Temu Anwar di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Shah Alam pada Isnin.

Baru-baru ini Anwar yang ditanya wartawan pasal percutian Rafizi kata tindakan Ahli Parlimen Pandan itu mengambil cuti, tidak perlu dijadikan isu.

Dalam pada itu Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil yang ditemui wartawan di satu acara lain juga mengesahkan kehadiran Rafizi pada mesyuarat MPP semalam.

Menteri Komunikasi itu kata Menteri Ekonomi itu dalam keadaan yang baik dan hadir bagi mendapatkan maklum balas mengenai hasil kajian audit pencalonan pemilihan PKR 2025.

“Kehadiran beliau adalah bagi mendapat maklum balas hasil daripada kajian audit yang telah dilaksana oleh auditor luar terhadap sistem (pencalonan).

Beliau memberitahu perjalanan mesyuarat sangat baik,sangat tenang dan langsung langsung tak ada kekecohan.

Menurut Fahmi selepas habis mesyuarat itu Rafizi beredar dari tempat mesyuarat yang diadakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, keputusan muktamad Pemilihan 2025 peringkat cabang itu dipamerkan selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat petang semalam.

Mesyuarat itu mendengar pembentangan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan laporan Juru Audit Digital Antarabangsa pihak ketiga, dan berpuas hati untuk mengesahkan keputusan itu bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK), Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang.

Berdasarkan keputusan muktamad yang disiarkan PKR di laman web parti itu antara yang disahkan tewas sekalipun telah kemuka rayuan ialah Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu memperoleh 563 undi (47.15 peratus) berbanding Afdlin, 631 undi (52.85 peratus).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir juga disahkan gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru selepas tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail.

Akmal Nasrullah yang juga Pengarah Strategi PKR memperoleh 587 undi (45.12 peratus), manakala Mohamad Taufiq memperoleh 709 undi (54.88 peratus).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim gagal dalam percubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya di Melaka apabila tewas kepada pencabarnya, Zamzizul Nordin.

Beliau hanya mampu meraih 791 undi berbanding Zamzizul yang mendapat 1,905 undi.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung gagal dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya selepas memperoleh 2,684 undi (48.07 peratus), berbanding penyandang jawatan, Hee Loy Sian dengan 2,900 undi (51.93 peratus).

Nasib sama turut dialami Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, yang disahkan tewas kepada pencabarnya, K Novinthen dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Siput.

Kesavan memperoleh 357 undi (47.86 peratus), berbanding Novinthen, 389 undi (52.14 peratus).- 5/5/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button