Thursday - 8, May 2025

Malaysia kekurangan 10,000 jurutera, pakar AI

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kepentingan pembangunan bidang kecerdasan buatan (AI) merupakan keperluan utama negara, dan Malaysia kini kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar AI.

Beliau berkata, AI kini memainkan peranan dalam pembangunan negara, setanding dengan impak revolusi industri dan era komputer sebelum ini.

“AI sangat kritikal, ini seperti seolah zaman revolusi industri mesin, kemudian komputer itu dah jadi sebuah perkakasan dan keperluan yang sangat besar.

“Jadi saya usulkan bahawa menguasi kemahiran itu sangat diperlukan dan kita kekurangan 10,000 jurutera dan pakar AI,” katanya pada sesi dialog program Temu Anwar di Management and Science University (MSU), pada Isnin.

Menurutnya lagi, pendekatan terhadap AI perlu lebih menyeluruh, bukan hanya melibatkan kemahiran teknikal semata-mata, tetapi juga penerapan nilai, budaya, sejarah dan seni tempatan.

Ia penting agar pembangunan teknologi di negara ini tidak kehilangan jati diri dan nilai kemanusiaan.

“Saya bertanya kepada Satya (Microsoft), Jason (Nvidia), dan pakar AI lain. Mereka semua bersetuju bahawa AI akan ‘memuntahkan’ ilmu dan idea mengikut nilai yang diterapkan. Maka kita perlu memastikan nilai kita sendiri menjadi asas kepada teknologi ini,” ujarnya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyelaras inisiatif pembangunan AI merentas universiti awam dan swasta, dengan memberi penekanan kepada kerjasama yang lebih terbuka dan tidak terikat kepada satu pihak.

“Kita harus bersedia menerima sumbangan dan kepakaran tanpa mengira dari universiti awam atau swasta. Yang penting ialah kualiti dan kekuatan bersama dalam membangunkan bidang ini,” katanya.

Anwar turut menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan generasi muda untuk menguasai bidang AI, dan menyeru mereka supaya mengambil peluang dan melengkapkan diri dengan ilmu serta kefahaman yang mendalam.

“Ini peluang besar untuk masa depan negara. AI bukan saja tentang teknologi, tapi juga tentang membina masa depan yang mencerminkan siapa kita,” ujarnya lagi.-6/5/2025

Read more

khabar terbaru