Thursday - 8, May 2025

Makin panas…Nurul Izzah dijolok masuk gelanggang jawatan Timbalan Presiden PKR

Share

Kalau nak hitung dari hari ini 6 Mei…hari penentuan untuk proses penamaan calon pemilihan jawatan pimpinan pusat parti PKR pada 8 dan 9 Mei cuma tiga hari lagi.

Ketika suhu percaturan makin panas dengan segala macam spekulasi…tumpuan kini adalah pada jawatan nombor dua yakni Timbalan Presiden.

Panyandangnya Menteri Ekonomi,Datuk Seri Rafizi Ramli terus menyepi dan berdasarkan perkembangan terbaru nampaknya nama beliau seolah semakin melongsor kebelakang.

Sebelum ini nama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin sudah hangat berlegar sebagai orang yang mungkin masuk gelanggang lawan Rafizi.

Namun perkembangan yang lebih panas lagi muncul bila ‘anak bos’ yakni Nurul Izzah Anwar yang kini Naib Presiden pula dijolok untuk turut berentap.

Setakat ini beliau terima sokongan besar dari PKR Melaka,Selangor dan Pahang.

Ini adalah sokongan paling solid diberikan pada mana mana tokoh setakat ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Di Melaka…orang yang bawa namanya ketengah pula bukan calang-calang.

Ibarat satu kejutan…Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sendiri pada Selasa tampil buat kenyataan terbuka menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah untuk masuk bertanding.

Beliau pula bukan cakap seorang diri tetapi Ketua Cabang PKR Hang Tuah Jaya itu serentak menyuarakan pendirian bersama empat lagi ketua cabang PKR dari Melaka — Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka.

Kecuali cabang Masjid Tanah yang belum masuk senarai…ini bermakna sebahagian besar PKR di Melaka dokong Nurul Izzah.

Dalam kenyataan bersama itu Shamsul menyuarakan harapan agar pencalonan Nurul Izzah mendapat sokongan padu daripada seluruh anggota parti.

Mereka juga menyifatkan langkah ini sebagai permulaan kepada kebangkitan baru parti dalam menghadapi cabaran semasa serta membina masa depan negara.

“Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Sejak awal, beliau telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara, serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.”

Mereka turut menggariskan pengalaman Nurul Izzah sebagai bekas Naib Presiden PKR, Ahli Parlimen selama dua penggal, serta penglibatan aktif dalam masyarakat — termasuk disenaraikan baru-baru ini dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’ sebagai antara 30 individu berpengaruh — sebagai faktor yang menambah kredibiliti dan kekuatan kepimpinannya.

“Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan, tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat.

“Dalam dunia politik yang dinamik, kita memerlukan pemimpin yang menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi baru – seorang pemimpin yang membawa nilai kesederhanaan, berprinsip, progresif dan berwawasan,” kata mereka,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah mereka, Nurul Izzah memiliki semua ciri kepimpinan tersebut.

“Dia mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, dan terus membawa obor perjuangan ke arah sebuah negara yang lebih adil, stabil dan inklusif,” tambahnya lagi.

Di Selangor… seramai 18 Ketua Cabang PKR mengeluarkan kenyataan bersama menyokong Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata parti itu memerlukan individu yang mampu menyumbang sepenuh tenaga bagi menyusun persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata Naib Presiden PKR itu beliau yakin dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden akan dapat menyemai kepercayaan rakyat selain memastikan PKR kekal relevan, progresif dan berwibawa.

“Kepemimpinan Presiden memerlukan gandingan yang mantap dan Nurul Izzah mampu menjadi rakan setia, penasihat jujur dan tenaga penggerak yang berani menyatakan kebenaran demi parti.

“Dengan penuh rasa tanggungjawab, kami berdiri teguh bersama Nurul Izzah. Semoga pencalonan ini menjadi permulaan kepada babak baharu perjuangan PKR yang lebih bersatu, matang dan membina,” jelasnya.

Selain Melaka dan Selangor…PKR Pahang juga menyuarakan dokongan pada Nurul Izzah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Rizal Jamin berkata, Nurul Izzah telah membuktikan keteguhan prinsip dan iltizamnya sejak hari pertama gerakan reformasi digerakkan.

Tidak kurang menarik… Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang,Johor, Hassan Karim yang dikenali sebagai orang yang sentiasa berani beri komentar bebas menyifatkan Nurul Izzah sebagai “penyelamat” PKR daripada mendapat seorang Timbalan Presiden yang “tidak sesuai”.

Hassan berkata, beliau memang menentang amalan kronisme, sama ada dalam kerajaan mahupun parti tetapi mengalu-alukan Nurul Izzah bertanding.

Katanya, Nurul Izzah tidak boleh dinafikan haknya untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden hanya kerana beliau anak Anwar Ibrahim yang kini menjadi Perdana Menteri merangkap Presiden PKR.

Sebelum ini Ketua PKR Cabang Tapah Azam Afandi menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, beliau percaya sekiranya Nurul Izzah diangkat sebagai Timbalan Presiden, Puteri Reformasi itu mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang amat penting dalam menyuntik semangat baharu dalam parti.

“Nurul juga diyakini mampu memperkukuhkan lagi sinergi antara PKR dan rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Nama Saifuddin yang juga bekas Setiausaha Agung PKR dan pernah berentap dengan Rafizi tetapi tewas semasa pemilihan 2022 dibawa oleh Ketua Cabang PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman.

Beliau yang juga bekas pegawai kanan bekas Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mencadangkan Rafizi memberi laluan kepada Saifuddin untuk menggantikannya.

Menurut Syed Badli Shah, hal itu dilihat penting bagi memastikan imej baik parti terpelihara memandangkan spekulasi Rafizi melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan mengambil cuti panjang terlalu lama telah menyebabkan ketidaktenteraman dalam kalangan ahli parti.

Beliau berkata, Rafizi seharusnya segera tampil menjawab segala spekulasi dan bukannya membiarkan isu ini terus dipolemikkan sehingga memberi kesan langsung kepada kestabilan parti.

“Rafizi tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri menepis isu remeh seperti ini dimata umum sedangkan beliau seharusnya memfokuskan segala usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi dan kerajaan.

“Namun jika benar segala spekulasi yang diperkatakan ini, saya ingin mencadangkan kepada Rafizi untuk berkompromi dengan memberi laluan mudah kepada Saifuddin bagi menggalas tugas sebagai timbalan presiden tanpa perlu dicabar,” katanya.

Syed Badli Shah menilai Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri ialah seorang pemimpin kanan dan berpengalaman yang mampu berkhidmat sebagai komandan kedua Presiden PKR.

Baru-baru ini Nurul Izzah umum akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan jawatan PKR pusat yang akan diadakan pada 23 Mei ini.

Sehingga berita ini ditulis Nurul Izzah belum beri sebarang reaksi pada dokongan makin meluas agar beliau bertanding jawatan nombor dua PKR.

Saifuddin pula kata beliau akan buat pengumuman ‘pada masa yang munasabah’.

Rafizi yang dilanda spekulasi kononnya berhasrat hendak letak jawatan dan baru ini bercuti sekejap tugas Menteri Ekonomi setakat ini belum buat apa-apa kenyataan mengenai hal ini. – 6/5/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI

Read more

khabar terbaru