Ini adalah realiti dalam mana pemilihan parti.Apa lagi melibatkan parti komponen kerajaan seperti yang sedang hangat dalam PKR sekarang.Pasti ada yang terguris,terluka segala macam dalam ‘tembak menembak’ semasa kempen.
Orang lama dalam politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tentu sedia maklum semua risiko yang bakal dihadapi oleh parti pimpinannya.
Dalam pemilihan yang paling mencuri perhatian bagi jawatan Timbalan Presiden pula melibatkan anaknya sendiri Nurul Izzah yang akan berentap dengan penyandang sekarang Datuk Seri Rafizi Ramli.
Kalau rajin selak pelbagai platform media sosial kita sudah dapat merasa bahangnya.
Jangan lupa perpecahan yang berlaku pada UMNO gara gara saingan sengit antara Team A Tun Dr Mahathir Mohamad dan Team B Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 dan pelbagai contoh lain dalam sejarah.
Atas sebab itu Perdana Menteri awal awal lagi sudah minta semua yang berkenaan agar ‘tidak terlanjur’.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah pada Ahad.
Menurutnya pemilihan PKR 2025 perlu dianggap sebagai satu ‘pertarungan antara rakan-rakan setia’ dalam parti,
“Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi. Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan (pemilihan ini) untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan,” katanya.
Justeru, Anwar mengingatkan kesemua calon berkenaan harus disantuni dengan baik supaya semangat persaudaraan dalam kalangan ahli parti kekal utuh.
“Ini (PKR) persaudaraan yang harus diperkukuh…selesai sahaja Kongres (Kongres Nasional PKR) kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.
Proses pencalonan pemilihan parti yang berakhir Jumaat lepas menyaksikan Anwar tidak dicabar bagi jawatan Presiden.
Selain kehangatan saingan untuk jawatan Timbalan Presiden, bagi jawatan Naib Presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula tidak dicabar untuk menang jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) berebut jawatan Ketua Wanita PKR.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.- 11/5/2025