Monday - 16, June 2025

Musim candat sotong tarik pelancong ke Terengganu

Share

Lebih 3,000 bot dijangka memeriahkan perairan Terengganu sempena Musim Candat Sotong yang bermula April lalu dan akan berlangsung sehingga Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata aktiviti tahunan itu dijangka menjana pulangan ekonomi melebihi RM7.5 juta kepada pengusaha bot, nelayan, pengusaha inap desa serta industri makanan laut.

“Musim candat sotong merupakan antara produk pelancongan marin Terengganu yang dinanti-nantikan bukan sahaja oleh pelancong tempatan, malah dari luar negara termasuk Singapura, Filipina, Thailand dan China,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata kerajaan negeri kini dalam usaha mendapatkan permit khas daripada Jabatan Perikanan (DOF) bagi membolehkan lebih 3,000 nelayan yang tiada lesen perikanan rekreasi menyertai musim candat kali ini.

Beliau berkata rundingan bersama DOF, Jabatan Laut Malaysia dan beberapa agensi berkaitan sudah dimulakan sejak tahun lalu, bagi memastikan nelayan kecil dan pesisir pantai tidak terpinggir daripada peluang menjana pendapatan.

“Bagaimanapun, beberapa perkara masih dalam perbincangan seperti perlindungan insurans, aspek keselamatan pelancong dan bot serta syarat kelulusan permit khas itu,” katanya.-13/5/2025

Read more

khabar terbaru