Seorang individu telah dipanggil bagi dirakam percakapan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu pada Khamis dalam siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
sebuah telefon bimbit juga telah disita bagi membantu siasatan berkenaan.
MCMC dalam kenyataan memberitahu, siasatan tersebut dijalankan susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Individu-individu lain yang berkaitan akan turut dipanggil sekiranya perlu dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
MCMC menegaskan Jalur Gemilang merupakan simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan.
Menurutnya penggunaan ilustrasi yang tidak tepat khususnya di platform dalam talian boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
“Sehubungan dengan itu, MCMC menyeru semua pengguna media sosial agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menghasilkan dan memuat naik kandungan khususnya dalam era teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
“Amalan kawal selia kendiri dan semakan fakta yang teliti adalah amat penting bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
“MCMC komited untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu,” katanya.
Isnin lalu, PAS Terengganu membuat permohonan maaf secara terbuka susulan isu Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu yang lengkap dipaparkan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025.
PAS Terengganu dalam hantaran di Facebook memaklumkan, kesilapan itu merupakan kekhilafan teknikal yang tidak disengajakan.
Sehubungan itu ia memberitahu, tindakan segera telah diambil untuk menarik balik penggunaan logo tersebut.- 15/5/2025