Pada ketika ada kalangan yang bimbang kehangatan pemilihan PKR kali ini ‘macam nak runtuh gunung’ khususnya untuk jawatan Timbalan Presiden boleh gugat keutuhan parti itu,Datuk Seri Anwar Ibrahim kata beliau tak sangat susah hati.
Perdana Menteri kata ini kerana pemilihan itu adalah dikalangan sahabat lama, sahabat setia, sebilangan besar mereka itu pejuang asal parti.
Beliau yakin semua yang bertanding akan bersatu dan bermaaf-maafan selepas selesai pemilihan.
Beliau yang juga Presiden PKR ulas demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PKR Cabang Langkawi di Langkawi, pada Isnin.
“Orang banyak susah susah hati, saya tak sangat susah hati, kerana saya kata ini bertanding timbalan presiden, naib-naib presiden, pemuda, wanita, itu di kalangan sahabat lama, sahabat setia, sebilangan besar mereka itu pejuang-pejuang asal,” katanya.
“Sesetengah persaingan tu sengit betul macam nak runtuh gunung-gunung, tetapi selesai patut bersatu semula dan kita maaf-bermaafan balik.
“Kerana yang bertarung itu orang-orang yang juga berjasa, jadi jangan ambil sikap bermusuh… sedikit berbeza pendapat tapi ada sedikit ihsan dan kasih sayang.
Serentak dengan itu Anwar mengingatkan ahli PKR supaya tidak menambahkan suhu pemilihan parti kali ini.
“Saya tengok senarai calon Naib Presiden misalnya, ramai yang cukup layak. Kalau saya ada dua tempat untuk Timbalan Presiden misalnya, dua-dua saya sokong. Kalau ada 11 tempat Naib Presiden, semua saya sokong.
Meskipun berbeza pendapat kata Anwar, sumbangan semua pihak kepada parti itu tidak boleh dinafikan.
“Kita jangan tambah, tingkatkan suhu kehangatan, kita leraikan dengan baik kerana apa pun kita berbeda pendapat dalam sesuatu perkara kita tak boleh nafikan jasa khidmat yang tinggi oleh orang ini.
“Sebahagiannya lebih jauh pengorbannanya, lebih jauh kerjanya daripada kita,” kata Anwar lagi.
Pertandingan yang paling curi perhatian kali ini ialah antara Datuk Seri Rafizi Ramli yang pertahan jawatan Timbalan Presiden dengan anak Perdana Menteri,Nurul Izzah Anwar.
Selain itu 11 orang bersaingan untuk jawatan Naib Presiden.
Empat penyandang Naib Presiden yang pertahan jawatan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Turut kemuka pencalonan untuk jawatan itu adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, R Ramanan,Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Senator Abun Sui Anyit; bekas EXCO Selangor, Hee Loy Sian dan bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub.
Bagi jawatan Ketua Wanita pula Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang pertahan jawatan akan berentap dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.- 19/5/2025