Wednesday - 28, May 2025

Pemilihan PKR: Fahmi akan galas tugas sebaik mungkin demi rakyat, masa depan negara

Share

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, yang dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti itu bagi sesi 2025-2028, berkata beliau akan menggalas tugasan itu sebaik mungkin demi perjuangan rakyat dan masa depan negara.

Menteri Komunikasi itu, berkata beliau juga akan meneruskan agenda reformasi yang menjadi nadi perjuangan PKR sejak mula.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Dengan izin dan kurnia-Nya, saya telah dipilih oleh perwakilan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat bagi penggal 2025-2028.

“Amanah besar ini saya terima dengan rendah hati dan penuh tanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di laman X malam tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memilih dan memberi sokongan kepadanya.

Fahmi antara muka baharu yang berjaya dalam saingan bagi jawatan dalam MPP pada pemilihan parti itu dan berada di kedudukan teratas dengan memperoleh 4,811 undi.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan bagi pemilihan itu, Fahmi berkata, tugas berat bakal menanti barisan kepimpinan parti yang baharu.

Beliau berkata banyak perkara yang akan direncana terutama untuk menyantuni ahli di peringkat akar umbi.

“Saya menginsafi bahawa tugas yang berat menanti bukan diri saya seorang sahaja tetapi seluruh pasukan kepimpinan yang baharu untuk mempersiapkan parti dan rakan-rakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

“Saya jangkakan dalam tempoh beberapa minggu ke depan, rakan-rakan mungkin ambil sedikit masa untuk kembali ke kawasan masing-masing bertemu dengan akar umbi,” katanya. – BERNAMA- 25/5/2025

Read more

khabar terbaru