Wednesday - 28, May 2025

ASEAN desak pematuhan undang-undang antarabangsa di Gaza

Share

ASEAN menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati dan dipatuhi di Gaza, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique A. Manalo.

“ASEAN sangat jelas. ASEAN menyokong penuh aspek kemanusiaan dan keperluan untuk menghormati undang-undang antarabangsa di Gaza dan juga di Palestin,” katanya.

Tentera Israel kini dilaporkan menguasai 77 peratus wilayah Gaza menerusi operasi ketenteraan berterusan yang menyebabkan ramai hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian.

Kenyataan itu menuduh Israel menggunakan pencerobohan darat, pendudukan ketenteraan, pengeboman intensif serta pemindahan paksa sebagai strategi mengusir puluhan ribu rakyat Palestin dari kediaman mereka.

Tindakan itu disifatkan sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pejabat tersebut turut menggesa komuniti antarabangsa agar melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan secara serius dan memberi amaran tentang implikasi besar sekiranya kawalan Israel ke atas Gaza diteruskan.

Manalo berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai tindakan Israel terhadap Palestin, susulan Kepengerusian Filipina dalam Mesyuarat Menteri ASEAN-Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) telah memberi amaran bahawa bencana kemanusiaan di Gaza akan bertambah buruk sekiranya bantuan tidak diteruskan tanpa sebarang gangguan.

Agensi Berita Qatar (QNA) melaporkan bahawa sekatan yang dikenakan oleh Israel, yang bermula pada 2 Mac, telah menyebabkan 2.4 juta penduduk Gaza hampir menghadapi keadaan kebuluran.

Dalam tempoh 80 hari lepas, seramai 58 individu telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, manakala 242 lagi, kebanyakannya kanak-kanak dan warga emas, maut akibat kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan, menurut laporan itu.

Mengulas mengenai mesyuarat menteri hari ini, Manalo berkata pelaksanaan Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028 kini berjalan lancar.

Rangka kerja tersebut merupakan pelan menyeluruh bagi memperkukuh kerjasama ASEAN-GCC merangkumi sektor politik, ekonomi dan sosiobudaya.

“Setakat ini, pelaksanaannya berjalan dengan baik, dan hari ini kami telah mengadakan pertemuan yang sangat positif untuk mengesahkannya. Saya percaya sidang kemuncak esok akan memperkukuh lagi hubungan kerjasama ASEAN dan GCC yang kian berkembang,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei di bawah tema Pengerusi Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”, dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, khususnya berkaitan politik dan keselamatan.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.-26/5/2025

Read more

khabar terbaru