Wednesday - 28, May 2025

Kerajaan pastikan perkhidmatan 5G murah dan pantas – Fahmi

Share

Kerajaan akan menggunakan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) untuk memastikan perkhidmatan 5G kekal mampu milik dan pantas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata mekanisme tersebut akan disemak setiap dua hingga tiga tahun.

“Dengan mekanisme ini, kita dapat memastikan harga kekal kompetitif. Ia juga membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memastikan pengguna biasa mendapat harga yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian antara U Mobile Sdn Bhd dan Telekom Malaysia (TM) yang memuktamadkan pelantikan TM sebagai rakan utama U Mobile bagi rangkaian gentian backhaul.

Di bawah perjanjian kerjasama selama 10 tahun bernilai RM2.4 bilion itu, TM akan menyediakan perkhidmatan infrastruktur backhaul kepada U Mobile, termasuk akses talian sewa gentian ke rangkaian akses radio 5G U Mobile, pusat data, dan penyewaan kemudahan edge TM untuk titik perhubungan.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan U Mobile dipilih untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.

Syarikat telekomunikasi itu, yang dipengerusikan oleh taikun Vincent Tan, akan bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih lain dalam melaksanakan rangkaian 5G kedua.

Fahmi berkata U Mobile dan Digital Nasional Bhd (DNB) akan memanfaatkan rangkaian gentian optik luas milik TM, bagi memastikan kos kekal terkawal.

Ketika ditanya sama ada TM akan turut serta dalam pelaksanaan 5G, Fahmi berkata TM hanya menyokong keperluan infrastruktur, manakala hanya dua pihak sahaja secara rasmi terlibat dalam penyediaan perkhidmatan 5G.

“Untuk tujuan rangkaian 5G, hanya ada dua perjanjian perkhidmatan. Satu dengan DNB dan satu lagi dengan U Mobile,” katanya.

CEO U Mobile Wong Heang Tuck berkata, dengan kerjasama TM dan rakan lain, syarikatnya komited untuk mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk menjelang Julai 2026.

Katanya, kerjasama itu juga akan menyaksikan TM melengkapkan gentian optik di hampir 70% tapak 5G U Mobile.

“Dengan penyelesaian backhaul komprehensif daripada TM, U Mobile akan dapat mempercepatkan pelaksanaan rangkaian kami di seluruh negara, sambil memastikan ketersediaan tinggi, daya tahan yang baik, kependaman ultra rendah dan lebar jalur yang tinggi,” katanya.

CEO Kumpulan TM, Amar Huzaimi Deris berkata kerjasama itu menunjukkan komitmen TM untuk membina infrastruktur inklusif dan bersedia untuk masa depan, yang mendorong inovasi, meningkatkan kesalinghubungan, dan memacu kemajuan digital di seluruh negara.-26/5/2026

Read more

khabar terbaru