Wednesday - 28, May 2025

Cuba tunai haji tanpa permit… 63 rakyat Malaysia diusir dari mekah

Share

Seramai 63 rakyat Malaysia dikenakan tindakan diusir dari Mekah ke Jeddah kerana tidak memiliki visa haji yang sah, sekali gus berisiko hilang peluang menunaikan haji atau umrah pada masa depan.

Jumlah itu direkodkan oleh pejabat perwakilan Malaysia sejak 29 April hingga 23 Mei lalu, membabitkan mereka yang berada di kota suci itu termasuk yang dipercayai mahu melakukan ibadah haji tanpa permit.

Tindakan itu dikenakan berikutan amaran kerajaan Arab Saudi yang akan mengambil tindakan tegas terhadap semua jemaah yang berada di Makkah tanpa visa haji.

Mereka yang ditahan berada di Mekah tanpa visa haji sah boleh dikenakan denda antara RM22,000 hingga RM113,000, selain diusir dan disenarai hitam daripada memasuki Saudi selama 10 tahun yang bermakna peluang mengerjakan haji atau umrah masa depan terpaksa dilupakan.

Perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, berdasarkan maklumat diterima pihak berkuasa tempatan setakat 21 Mei lalu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah menerima beberapa laporan mengenai rakyat Malaysia yang diusir keluar dari Makkah ke Jeddah oleh pihak berkuasa tempatan kerana tidak memiliki visa atau permit haji sah.

“Sehingga 23 Mei lalu, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa tempatan, 63 rakyat Malaysia dilaporkan telah diusir keluar dari Makkah ke Jeddah kerana tiada visa haji sah.

“Walaupun laporan diterima setakat ini hanya berbentuk pemakluman, kami memandang serius dan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Akhbar Saudi Gazette sebelum ini melaporkan, selaras dengan ketetapan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah, semua pemegang visa selain haji diwajibkan meninggalkan Makkah bermula 1 Zulkaedah (29 April lalu) lalu.

Difahamkan, sejak beberapa musim haji, pihak berkuasa Saudi meningkatkan kawalan termasuk melakukan pemeriksaan rawak bukan saja di hotel, tetapi juga di bangunan kediaman sekitar Mekah, bagi mengesan individu tanpa visa haji sah, tetapi mengambil kesempatan berada di tanah suci.

Kawalan ketat itu turut dibuat atas faktor keselamatan jemaah memandangkan pada musim haji 2024, seramai 1,301 jemaah haji dilaporkan meninggal dunia. Daripada jumlah itu, 83 peratus adalah jemaah yang tidak memiliki visa atau permit haji yang sah.-26/5/2025

Read more

khabar terbaru