Wednesday - 28, May 2025

Kuala Lumpur antara bandaraya percutian santai terbaik di Asia versi Agoda

Share

Kuala Lumpur disenaraikan antara bandaraya terbaik di Asia bagi pelancong yang menginginkan percutian santai atau ‘slow travel’.

Senarai destinasi terbaik di Asia bagi pelancong ‘slow travel’ itu diumumkan oleh Agoda berdasarkan data purata tempoh penginapan yang ditempah di platform pelancongan digital tersebut antara Januari hingga Mac lalu.

Menurut Agoda, golongan terbabit menempah penginapan paling lama di Rayong (Thailand), Kalegowa (Indonesia), Seoul (Korea Selatan), Tokyo (Jepun), Nha Trang (Vietnam), Pulau Boracay (Filipina), Taipei (Taiwan), Kuala Lumpur (Malaysia), dan Chennai (India).

Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, meskipun sesetengah pelancong menggemari jadual perjalanan padat yang memuatkan sebanyak mungkin aktiviti dalam masa singkat, ada juga golongan yang ingin menginap lebih lama semata-mata untuk menghayati keunikan tarikan tempatan.

“Seiring kehidupan yang bergerak pantas, semakin ramai pelancong memperlahankan rentak untuk benar-benar menghayati keindahan sesebuah tempat, bukannya sekadar melawatnya sepintas lalu. ‘Slow travel’ membuka ruang buat mereka menikmati keindahan destinasi, mengenali budaya, makanan serta penduduk dengan lebih dekat.

“Di Malaysia sahaja, Kuala Lumpur dan Langkawi, Kedah masing-masing melonjak ke tangga pertama dan kedua bagi destinasi dengan tempoh penginapan lebih panjang, diikuti Johor Bahru, Johor. Pulau Perhentian, Terengganu yang menduduki tempat pertama tahun lepas terkeluar daripada senarai.

“Sementara itu, pelancong Malaysia yang melancong ke luar negara menghabiskan masa paling lama di Tokyo, Jepun untuk pengalaman percutian yang lebih santai. Destinasi ini membuktikan bahawa kadangkala cara terbaik untuk bercuti adalah secara santai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Fabian turut memaklumkan, faktor Kuala Lumpur berada dalam senarai disebabkan penggemar ‘slow travel’ boleh meluangkan masa untuk meneroka tarikan utama ibu kota tersebut seperti Little India dan Jalan Petaling.

Tambahnya, keindahan seni bina ikonik bandar itu, termasuk Menara Berkembar Petronas dan Bangunan Sultan Abdul Samad menawarkan banyak momen indah untuk dirakamkan.

“Peminat makanan juga boleh menikmati pengalaman santai di gerai atau restoran mewah sambil mencuba pelbagai hidangan termasuk nasi lemak dan char kue tiau.

“Gabungan tradisi dan kemodenan Kuala Lumpur menjadikannya destinasi yang cukup menarik bagi pelancong yang ingin menginap lebih lama,” ujar beliau.

Menduduki tangga pertama iaitu Rayong, Thailand, beliau menjelaskan, ia merupakan destinasi ideal buat pelancong yang sukakan ketenangan dan kedamaian.

“Dengan pantainya yang bersih, ia menawarkan percutian sempurna daripada kesibukan. Pengunjung boleh menikmati makanan laut segar terus daripada bot nelayan, meneroka pulau seperti Koh Samet atau sekadar beristirahat di bawah pokok kelapa.

“Suasana Rayong yang tenang dan indah menjadikan destinasi percutian ini pilihan ideal buat pelancong santai,” katanya lagi.-26/5/2025

Read more

khabar terbaru