Wednesday - 28, May 2025

ASEAN terima pakai Deklarasi Kuala Lumpur 2045 rangka hala tuju jangka panjang

Share

Pemimpin Asia Tenggara pada Isnin menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang menjadi asas kepada hala tuju pembangunan dan kerjasama serantau bagi dua dekad akan datang.

Deklarasi tersebut, yang diluluskan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, melambangkan pencapaian penting dalam komitmen blok serantau itu untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berorientasikan rakyat

Dokumen ini juga menggantikan visi ASEAN 2025: Melangkah Bersama yang diluluskan pada 2015.

Menurut Deklarasi tersebut, negara anggota ASEAN menegaskan semula tekad kolektif untuk memperkukuh kesatuan serantau, menggalakkan pembangunan inklusif dan mampan serta mempertingkatkan keupayaan institusi bagi bertindak balas secara berkesan terhadap trend mega semasa dan akan datang.

Dokumen itu juga menggambarkan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan di rantau Indo-Pasifik, dengan penekanan kuat terhadap perpaduan serantau, identiti bersama, dan akses yang adil kepada peluang ekonomi dalam kalangan penduduknya.

“Kami menekankan kepentingan memperkukuh daya tahan ASEAN serta menggalakkan tindak balas kolektif, cekap, berkesan dan inovatif terhadap cabaran serantau dan global serta kejutan masa depan, yang akan membantu memastikan masa depan ASEAN dan penduduknya,” menurut kenyataan Deklarasi itu.

Antara keputusan utama yang dibuat di bawah Deklarasi tersebut ialah penerimaan rasmi Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 berserta pelan strategik yang menyertainya merangkumi empat tonggak utama iaitu Politik-Keselamatan, Ekonomi, Sosiobudaya, dan Ketersambungan.

Para pemimpin bersetuju bahawa Deklarasi ini bersama ACV 2045 dan pelan strategiknya akan membentuk ASEAN 2045.

Mereka juga memberi tanggungjawab kepada menteri ASEAN dan badan-badan berkaitan dengan sokongan Setiausaha Agung ASEAN serta Sekretariat ASEAN untuk melaksanakan aktiviti komunikasi dan memantau pelaksanaan secara berkala.

Setiausaha Agung akan membuat laporan tahunan kepada Sidang Kemuncak ASEAN, dan satu kajian separuh penggal agenda ASEAN 2045 akan dijalankan bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan serantau dan global.

Deklarasi Kuala Lumpur 2045 dibina berasaskan perjanjian-perjanjian penting terdahulu termasuk Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2025: Melangkah Bersama (2015), Deklarasi Ha Noi (2020), Agenda Konektiviti Phnom Penh (2022), Kenyataan Pemimpin Labuan Bajo (2023) dan Deklarasi Vientiane mengenai Pembangunan Pelan Strategik (2024).

Deklarasi itu menegaskan komitmen berterusan ASEAN untuk mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN, undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan.

Turut akan berlangsung esok, ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa. – Bernama-26/5/2025

Read more

khabar terbaru