Saturday - 31, May 2025

Isu harta Daim: SPRM tidak ganjak…

Share

“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau dan mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka.”

Itu tegas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Rabu mengulas kenyataan peguam isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga yang menyifatkan tindakan SPRM hendak lucut hak hartanya sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan.

Selain itu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut pertikai tindakan itu tanpa disabitkan dengan kesalahan mencuri.

“Ini adalah rompakan. Anda tidak boleh mengambil harta orang begitu sahaja,” katanya.

Azam kata SPRM percaya harta Daim yang tak diisytihar mungkin diperoleh dengan cara salah

Beliau beritahu demikian kepada wartawan selepas merasmikan Pelancaran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor di Kajang.

“Namun di pihak saya, kita akan meneruskan tindakan yang diatur dan dirancang, bagi tujuan menentukan hak untuk harta-harta itu, yang kita rasakan ia diperoleh dengan menyalahi undang-undang,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, jumlah kertas siasatan SPRM mungkin bertambah daripada lapan sedia ada.

“Jumlah keseluruhan harta yang dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion tetapi ia mempunyai pecahan-pecahannya (untuk dilucutkan hak). Setiap harta yang berkaitan (dilucutkan hak) memerlukan satu permohonan kertas siasatan.

“Setakat ini ada lapan kertas siasatan sahaja yang dibuka dan ya… ia mungkin bertambah… mungkin selepas ini,” katanya.

Dalam sidang akhbar minggu lalu, Azam mengesahkan SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak pemilikan harta milik Daim dan keluarganya. Selain RM2 bilion harta Daim yang kini dibekukan SPRM, agensi itu percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan di luar negara.

Harta itu, katanya, membabitkan yang dimiliki ahli keluarga serta proksi Daim.

Tindakan itu mendapat reaksi peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.

Ini kerana kata peguam itu, Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.- 28/5/2025

BERITA SEBELUM INI : Ini perkembangan terbaru siasatan SPRM keatas aset Allahyarham Tun Daim…
22, May 2025

Rasanya sudah agak lama tidak dengar kisah siasatan SPRM keatas aset milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada 13 November tahun lalu.

Hari ini,Khamis baru dapat perkembangan terkini mengenai status siasatan keatas kes berprofail tinggi itu dalam sidang akhbar Ketua Persuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Putrajaya.

Ikut cakap beliau SPRM sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta yang tidak diisytiharkan milik Allahyarham,keluarga dan sekutunya.

Jumlahnya bernilai melebihi RM2 bilion.

Katanya buat masa ini aset berkenaan sedang dibekukan SPRM.

Beliau menjelaskan aset-aset berkenaan sekiranya benar tak diisytihar adalah kesalahan.

“Walau pun ketiadaan Tun Daim lagi, kita sedang menuju ke arah itu (melucutkan harta) dan kita sedang melihat harta-harta berkaitan yang tidak diisytiharkan pada satu ketika dahulu.

“Kemudiannya terpulang kepada pendakwaan untuk membuat keputusan,” katanya.

Azam kata lebih banyak lagi aset boleh ditemui kerana penyiasat masih melihat kekayaan yang disimpan bekas menteri kewangan itu, ahli keluarga dan “proksi” mereka.

Beliau beritahu, SPRM baru-baru ini menerima maklumat baru daripada rakan sejawatan mereka di luar negara mengenai dakwaan aset yang dimiliki Daim yang tidak termasuk dalam pengisytiharan asetnya kepada pihak berkuasa.

Antara negara yang Daim didakwa mempunyai aset termasuk di Switzerland dan United Kingdom.

Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Azam berkata: “Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”

Katanya, pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.

“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.

Susulan kematiannya, Daim dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes mereka terhadapnya.

Bagaimanapun, SPRM masih meneruskan siasatan mereka terhadap jejak kewangan aset yang dikaitkan dengan Daim dan keluarganya.- 22/5/2025

Read more

khabar terbaru