Rupanya Datuk Seri Rafizi Ramli tunggu beres Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur untuk mengambil langkahnya.
Awal petang ini bekas Timbalan Presiden PKR itu tunai janji seperti yang ditegasnya semasa kehangatan kempen pemilihan jawatan itu berdepan tentangan Nurul Izzah Anwar.
Pada pemilihan 23 Mei itu beliau tewas pada anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman facebooknya Rafizi umum perletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuatkuasa 17 Jun 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN berakhir Selasa semalam.
Beliau turut hadir sidang berkenaan .
Dalam satu kenyataan berkenaan Ahli Parlimen Pandan itu beritahu beliau akan menghabiskan baki cuti tahunannya bermula hari ini sehingga 16 Jun 2025.
“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri,” katanya.
Rafizi berkata, kekalahannya dalam Pemilihan PKR bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepadanya sepanjang menjawat jawatan Menteri Ekonomi.
“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.
“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata, amanah terakhir sebagai Menteri Ekonomi telah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang yang seterusnya.
“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pengamal media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang beliau menjadi Menteri Ekonomi.
“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya. – 28/5/2025