Sdr. Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran. Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan, dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya.
Banyak idea beliau, yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia.
Pemikiran seperti Sdr. Rafizi akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak. Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi.
Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna.
Fokus saya kekal pada usaha memperkukuh parti. Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik, dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan.
Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangkan selama ini.
Sebagai langkah awal, fokus kami terarah kepada memperkenalkan latihan wajib, khusus kepada semua pemimpin parti, di peringkat pusat, negeri dan cabang tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai. Kerana tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh.
Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku, serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka.
Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain.
NURUL IZZAH ANWAR
petikan di laman facebooknya – 28/5/2025