Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap video siaran langsung di aplikasi TikTok yang memaparkan individu memijak gambar Jalur Gemilang.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempersenda dan menghina Jalur Gemilang yang menjadi lambang kedaulatan, perpaduan serta identiti negara.
“Tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Sementara itu, FMT melaporkan video siaran langsung itu didakwa distrim dari Sri Lanka serta berada dalam talian selama lebih empat jam, yang turut dipercayai menjadi medan perang siber antara pengguna di Malaysia dan Sri Lanka.
Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, berkata ia sedang menyiasat video itu dan berusaha untuk sekat akses kepada siaran langsung.
“Kami memantau perkara ini dan telah menghubungi TikTok,” katanya.
Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), berkata ketegangan meletus selepas pengguna Malaysia dan Sri Lanka berbalas kenyataan berbaur perkauman, berkongsi kandungan yang menyinggung agama, dan menyasarkan wanita semasa siaran langsung yang ditonton secara meluas.

Menurut GHRF, kejadian bermula apabila seorang warga Sri Lanka yang menetap di Kuwait dilihat membakar bendera Malaysia semasa sesi TikTok secara langsung yang dihoskan melalui akaun palsu.
Sesi itu, yang ditonton oleh kira-kira 300 pengguna, kemudian dipenuhi ucapan kebencian, kelucahan, dan cemuhan terhadap penonton Malaysia yang menyelar kelakuan itu, menurut wakil GHRF.
GHRF berkata permulaan perang siber itu boleh dikesan pada hari sebelumnya, apabila seorang pengguna TikTok Malaysia didakwa memuat naik gambar wanita Sri Lanka, termasuk imej peribadi atau rawak, dalam apa yang kelihatan seperti tindakan untuk memalukan di khalayak atau trolling.
Pengguna Sri Lanka membalas dengan menyiarkan imej rawak wanita Malaysia, berserta ancaman seksual, komen kesat dan gangguan lain.
Walaupun ratusan penonton melaporkan strim itu, TikTok membalas dengan mesej automatik menyatakan tiada pelanggaran garis panduan komuniti, menurut GHRF.
“Ini bukan sekadar ‘drama media sosial’, ia adalah isu hak asasi manusia dan keselamatan negara,” kata GHRF.-30/5/2025