Sunday - 1, June 2025

Ini ‘Langkah Zafrul’ pula…dah sah keluar UMNO nak masuk PKR

Share

Al-kisah Tengku Zafrul Abdul Aziz nak keluar UMNO dan berhajat nak masuk PKR bukanlah cerita baru.Ia sudah berlegar sejak tahun lalu.

Malah pada 15 Disember lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diminta ulas desas desus mengenainya mengesahkan pada wartawan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu ke dalam PKR.

Hari ini Sabtu 30 Mei… sudah rasmi Tengku Zafrul umum beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada UMNO dan mengumumkan hasratnya untuk menyertai PKR.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menang jawatan menerusi pemilihan parti buat pengumuman itu di laman facebooknya.

Zafrul berkata keputusan itu tidak dibuat dengan mudah dan beliau telah mendapatkan pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan di luar mahupun dalam UMNO, termasuk Presiden parti, Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO.

“Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Kota Raja dan ahli UMNO.

“Pada masa sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada presiden dan setiausaha agung parti itu. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR,” katanya lagi.

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat.

‘Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif di dalam UMNO. Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih.”

Zafrul pegang jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri atas kapisiti sebagai seorang Senator.

Pada pilihanraya umum 2022 beliau tewas bertanding atas tiket BN ditangan Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr Dzulkefly Ahmad dari PH-Amanah di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Tengku Zafrul juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dari Mac 2020 hingga Oktober 2022.

Beliau juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja di Selangor.

Sebelum itu beliau telah buat kejutan letak jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April 2024.

Beliau buat keputusan itu selepas dakwa melihat kebangkitan UMNO di negeri itu hambar dan tidak sehaluan dengan tema UMNO pusat.

Sementara itu ikut desas desus yang berlegar ‘Langkah Zafrul’ ini dikaitkan dengan usaha untuk jadikannya Menteri Besar Selangor.

Tempoh khidmat Tengku Zafrul sebagai Senator akan berakhir hujung tahun ini.

Ia tidak boleh dilanjutkan lagi kerana peraturan menetapkan seseorang hanya boleh jadi Senator selama dua penggal yakni 6 tahun.

Untuk bolehkan dilantik sebagai Menteri Besar beliau perlu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor menerusi pilihanraya kecil atau masa pilihanraya negeri itu nanti.

Manakaka jawatan menteri pula kena bertanding kerusi Parlimen menerusi pilihanraya kecil atau pilihanraya umum ke 16 nanti.- 30/5/2025 – OLEH HIEKAL ROSLI

Read more

khabar terbaru