Wednesday - 4, June 2025

13 ditahan SOSMA cubaan sabotaj sistem komunikasi utama Lembah Klang

Share

Polis menahan 13 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disyaki terlibat dalam jenayah mencuri kabel komunikasi dipercayai dengan niat untuk mensabotaj sistem komunikasi utama di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek yang ditahan menerusi Op Lusuh Mulia itu melakukan jenayah berkenaan di laluan kritikal yang menyokong infrastruktur data kerajaan serta sektor keselamatan.

“Gangguan terhadap kemudahan ini berpotensi besar menjejaskan penyelenggaraan perkhidmatan telekomunikasi serta infrastruktur komunikasi berkaitan, sekali gus mengancam ketenteraman awam.

“Sehubungan itu, semua suspek akan ditahan lanjut bagi tempoh tidak melebihi 28 hari di bawah peruntukan Seksyen 4(5) SOSMA bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata polis komited dalam membanteras jenayah yang mampu mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat di samping menyeru kerjasama orang awam dalam membantu usaha mengekang aktiviti jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini Hussein dilaporkan berkata lima anggota polis termasuk dua berpangkat Sarjan dan tiga berpangkat Koperal menjadi dalang kepada kegiatan mencuri kabel di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun lepas.

Beliau berkata anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai di sekitar dua negeri itu, antara 16 suspek termasuk seorang wanita, berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun ditahan terbabit dalam sindiket dikenali sebagai Sindiket Mulia, bersempena nama ketua sindiket itu.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Hussein memaklumkan bahawa sindiket berkenaan dikenali dengan nama kod ‘Mulia’ dan didalangi oleh dua lelaki yang masing-masing mempunyai 29 dan 36 rekod jenayah, termasuk beberapa kes berkaitan dadah dan narkotik.

Siasatan turut mendapati sindiket ini telah menjalankan sekurang-kurangnya 23 transaksi jualan kabel di sebuah kedai besi buruk di Semenyih melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM683,000.-31/5/2025

Read more

khabar terbaru