Setiap tahun Dialog Shangri-La di Singapura ditunggu sebagai acara yang menghimpunan tokoh serantau dan antarabangsa untuk membincangkan soal keamanan dan keselamatan.
Tahun ini, sebagai Pengerusi ASEAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menyertai Dialog Shangri-La ke-22 tetapi akan memberikan ucapan khas.
Jemputan itu mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan kepimpinan Malaysia dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.
“Dialog ini merupakan acara tahunan bertaraf antarabangsa yang menjadi platform kepada pemimpin dan pegawai untuk membincangkan cabaran keselamatan serantau dan global,” menurut kenyataan media Kementerian Luar pada Jumaat.
Anwar dijadual menyampaikan Ucapan Khas pada Dialog Shangri-La anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS).
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong.
Kedua-dua pemimpin dijangka menilai hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu global yang menjadi kepentingan bersama.

Perdana Menteri juga turut dijadual menghadap Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam.
Pada 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Perdagangan dua hala meningkat 8.9 peratus kepada RM396.22 bilion (US$86.69 bilion), mewakili 13.8 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan Malaysia.
Nilai eksport Malaysia ke Singapura ialah RM230.86 bilion (US$50.53 bilion), manakala import dari Singapura ke Malaysia bernilai RM143.73 bilion (US$31.45 bilion).
Sementara itu, pertemuan pelbagai hala antara Menteri Pertahanan ASEAN, Timor Leste dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth bakal memperkukuh kerjasama pertahanan serantau
Pertemuan antara Menteri Pertahanan ASEAN, Timor Leste dan Hegseth itu berlangsung di luar Dialog Shangri-La ke-22, pada Jumaat.
“Sesi pertemuan pelbagai hala ini dimanfaatkan oleh setiap negara ASEAN untuk berkongsi pandangan mengenai cabaran keselamatan serantau, khususnya di wilayah Indo-Pasifik, serta usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara negara ASEAN dan Amerika Syarikat,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata beliau telah berkongsi pandangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengenai cabaran utama berkaitan isu Myanmar dan situasi di Laut China Selatan dalam pertemuan pelbagai hala dengan Hegseth.
“Penyelesaian kepada kedua-dua isu utama ini perlu diterajui dan dipacu oleh rangka kerja ASEAN.
“Saya turut menegaskan kepentingan untuk semua pihak agar terus mendukung nilai dan teras utama ASEAN bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, semasa pertemuan itu, Hegseth menyentuh tentang cabaran keselamatan bersama dan mengulangi komitmen kukuh AS terhadap rantau itu menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura.
Beliau berkata AS percaya kepada kerjasama praktikal dan perkongsian kukuh yang berasaskan nilai bersama.
AS akan meneruskan penglibatannya dengan rantau Asia Tenggara dan meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara ASEAN, termasuk melalui Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).
Hegseth turut mengetengahkan isu keselamatan siber sebagai satu daripada bidang baharu yang penting bagi kerjasama ASEAN-AS, seperti melalui Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dan Maklumat ADMM (ACICE).-31/5/2025