Friday - 6, June 2025

Isteri Daim pertikai SPRM beku harta RM758 juta…ini penjelasan Azam Baki

Share

Isteri kepada Allahyarhambelas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid pada Rabu keluarkan satu kenyataan pertikai perintah mahkamah bekukan tujuh aset dan satu akaun bank yang didakwa miliknya dan keluarganya.

Beliau mendakwa keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bersifat dendam, membuli dan tidak bermotifkan undang-undang.

“Saya tidak akan tunduk kepada pembuli,”katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan permohonan SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, untuk membekukan kesemua harta berkenaan pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte).

Tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri Na’imah dan keluarga bernilai GBP132 juta (RM758.2 juta) dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Na’imah menyifatkan pembekuan itu sebagai pencabulan kerana dilakukan secara rahsia dan melangkaui batas undang-undang.

Beliau mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai tindakan itu, sebaliknya hanya diketahui melalui laporan media.

“Jangan ada keraguan bahawa saya akan melawan tindakan yang bermotif politik, cuai, berdendam dan tidak berlandaskan undang-undang ini menerusi segala peruntukan undang-undang sedia ada.

“Satu garisan sudah dilangkaui dan jika kita tidak melawan, mungkin tiada lagi garis yang tinggal sama sekali, maka tiada rakyat Malaysia yang akan selamat daripada jangkauan kuasa tidak dikawal.

Na’imah dakwa penyitaan harta oleh kerajaan tanpa notis kepada pemilik yang sah adalah pendahulu yang berbahaya.

“SPRM memperoleh perintah ex-parte ini secara rahsia, secara berdiam di sebalik pintu tertutup dan saya tidak diberi peluang bersuara.

“Saya sepatutnya dibenar menyatakan pembelaan di mahkamah. Tiada sesiapa yang munasabah akan mengatakan ini selaras dengan keadilan atau prinsip keadilan asasi.

“Mereka memperoleh perintah itu secara ‘serang hendap’, malah tiada peruntukan dalam undang-undang membenarkan permohonan ex-parte seperti ini dibuat dan kini mereka bersembunyi di sebalik ‘selimut undang-undang’ untuk menjustifikasikan sesuatu yang secara jelas adalah satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Na’imah turut mempersoal tindakan SPRM kerana tiada kesalahan jenayah dibuktikan terhadap Allahyarham suaminya.

“Undang-undang yang digunakan oleh SPRM iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), memperuntukkan perintah seperti ini hanya boleh diberikan jika ada ‘kesalahan serius’ seperti yang ditakrifkan dalam Jadual Kedua,”katanya.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan permohonan yang telah difailkan di mahkamah itu bertujuan menghalang pelupusan harta dan aset berkenaan.

“Dalam kes ini, kita telah mengemukakan permohonan mahkamah bagi perintah sekatan bagi membekukan aset yang berada di luar negara.

“Kita juga akan meneruskan siasatan lanjut ke atas akaun yang dirampas, kerana kita perlu memastikan ia tidak dilupuskan,” katanya – 4/6/2025

Read more

khabar terbaru