Friday - 6, June 2025

Peguam Anwar akan mohon tangguh prosiding kes Yusof Rawther 16 Jun

Share

Peguam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mohon tangguh prosiding perbicaraan kes saman sivil oleh bekas penyelidik beliau, Muhammed Yusoff Rawther yang dijadual pada 16 Jun ini.

Disamping itu rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya berkaitan isu imuniti daripada sebarang saman sivil.

Dalam keputusannya Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain telah arahkan perbicaraan kes itu diteruskan seperti yang dijadualkan pada 16 Jun.

Peguam Datuk Seri K. Rajasegaran yang mewakili Anwar mengesahkan Presiden PKR itu telah memfailkan notis rayuan berkenaan pada Rabu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya menerusi firma guaman Tetuan Zain, Megat & Murad.

Menurut notis rayuan itu, beliau berkata rayuan dibuat kerana Anwar tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Hakim Roz Mawar Rozain pada Rabu.

“Pihak kami merayu terhadap keseluruhan keputusan itu yang telah menolak permohonan anak guam dengan kos sebanyak RM20,000.

“Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes bagi permohonan itu belum ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes saman sivil Muhammed Yusoff Rawther, peguam itu berkata, pihaknya perlu mendapatkan nombor rujukan kes di Mahkamah Rayuan terlebih dahulu.

“Selepas itu, barulah permohonan penangguhan dilampirkan bersama notis perakuan segera. Harap boleh diperoleh sebelum 16 Jun ini (hari pertama perbicaraan kes),” katanya.

Menurutnya selaras dengan peruntukan undang-undang, pihaknya akan memohon penangguhan prosiding perbicaraan bagi memelihara integriti proses rayuan dan memastikan bahawa pihak defendan (Anwar) tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.-5/6/2025

BERITA SEBELUM INI : Kes Yusoff Rawther : Ini penjelasan Anwar

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguh saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther sudah tentu mengundang pelbagai andaian.

Ini kerana ia melibatkan seorang individu yang berjawatan Perdana Menteri.

Dicelah macam ragam komenter nampaknya ramai yang setuju keputusan berkenaan mengambarkan betapa bebasnya sistem kehakiman negara ini.

Bayangkan siapa sangka permohonan dari orang yang paling berkuasa di negara ini boleh kena tolak.

Dalam keputusan berkenaan Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan perbicaraan kes itu diteruskan seperti yang dijadualkan pada 16 Jun.

Namun samada perbicaraan kes akan berjalan seperti asalnya dijadualkan masih jadi tandatanya.

Peguam bela Anwar Datuk Seri Rajasegaran Krishnan berkata pihak mereka akan fail rayuan.

Anwar memfailkan permohonan itu minggu lepas, meminta lapan soalan perlembagaan dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, berdasarkan sama ada beliau mendapat imuniti daripada prosiding sivil yang dimulakan oleh Yusoff.

Yusoff memfailkan tindakan sivil pada 2021 atas dakwaan bahawa Anwar telah melakukan serangan seksual kepadanya pada Oktober 2018.

Untuk mengelak sebarang salah sangka mengenai permohonan itu Anwar telah mengeluarkan satu kenyataan selepas keputusan mahkamah untuk jelaskan kedudukan sebenar.

Menerusi laman facebooknya,Perdana Menteri menegaskan bahawa usahanya untuk menangguhkan saman terhadapnya tidak sekali-kali bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi daripada litigasi.

“Perkara ini tidak pernah mengenai mencari imuniti peribadi atau melarikan diri dari pemeriksaan undang-undang.

“Ia membabitkan integriti sistem perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin mengikut masa yang strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi,” katanya.

Perdana Menteri beri jaminan beliau tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah dan maruah tadbir urus demokrasi.

“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” ujarnya.

Dalam membentangkan keputusanya Hakim Roz Mawar Rozain berkata lapan persoalan perlembagaan yang Anwar cuba rujuk kepada Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi ambang yang diperlukan.

“Dari perspektif kehakiman, soalan yang dicadangkan nampaknya tidak memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen… apa yang jelas ialah tidak semua soalan menyentuh kualiti perlembagaan untuk rujukan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Mahkamah ini mesti berpuas hati bahawa persoalan perlembagaan adalah tulen dan material kepada penyelesaian kes ini kerana Mahkamah Persekutuan bukan forum untuk pandangan nasihat spekulatif atau defensif,” katanya.

“Mahkamah ini… tidak berpuas hati, jadi permohonan untuk merujuk soalan yang dicadangkan kepada Mahkamah Persekutuan ditolak,” kata hakim itu.- 4/6/2025

Read more

khabar terbaru