Desas desus mengenai kemungkinan ini sudah lama berlegar.Hari ini CEO Petronas Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Aziz sendiri mengesahkan khabar yang kurang sedap ini.
Beliau memberitahu Petronas akan mengurangkan tenaga kerjanya sebanyak kira-kira 10 peratus yakni melibatkan lebih 5,000 kakitangan menjelang akhir tahun ini.
Pada satu majlis taklimat media beliau menjelaskan langkah berkenaan adalah bagi mengurangkan kos, susulan kejatuhan harga minyak mentah dan dan kesan ketidaktentuan pasaran yang sukar dijangka ke atas keuntungannya.
Selain penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh, semua kenaikan pangkat dan pengambilan pekerja baru akan dibekukan sehingga Disember 2026.
Keuntungan Petronas merosot 32 peratus pada tahun lalu, selepas kemerosotan 21 peratus pada tahun sebelumnya.
“Keadaan dijangka terus mencabar pada tahun ini, sebahagiannya disebabkan oleh penurunan berterusan harga minyak mentah Brent,” katanya.
Petronas mempunyai hampir 50,000 pekerja.- 5/6/2025