Saturday - 7, June 2025

Isu vape: MCMC pantau jualan dalam talian – Fahmi

Share

Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau aktiviti penjualan produk vape dan e-rokok secara dalam talian susulan peningkatan larangan penggunaannya di beberapa negeri serta kebimbangan wujud bahan sintetik dalam produk itu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan sedang diteliti oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pada masa yang sama, saya akan arahkan MCMC untuk meneliti penjualan produk-produk seperti itu dalam talian. Kita dapati jualan ini banyak berlaku di platform seperti Facebook dan WhatsApp.

“Sudah pasti sebarang tindakan penguatkuasaan juga akan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.

Beliau berkata walaupun isu vape adalah di bawah bidang kuasa KKM, Kementerian Komunikasi akan memantau daripada sudut penggunaan media sosial sebagai platform jualan khususnya bagi produk e-rokok.

“Insya-Allah, MCMC akan menyediakan satu laporan berhubung perkara ini dan Kementerian Komunikasi akan membentangkannya kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Fahmi turut menegaskan komitmen Kementerian Komunikasi untuk bekerjasama rapat dengan KKM dan KPDN bagi memastikan Internet yang lebih selamat (daripada iklan seperti vape dan e-rokok) terutama bagi kanak-kanak serta keluarga. – 5/6/2025

Read more

khabar terbaru