Monday - 9, June 2025

Kemalangan bas bawa mahasiswa UPSI di Gerik… 15 disahkan meninggal dunia

Share

Bas persiaran yang disewa khas untuk membawa mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada Jerteh Terengganu pulang ke kampus di Tanjung Malim terlibat dengan kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun awal pagi tadi.

Sehingga berita ini ditulis seramai 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis antara bas dan sebuah kenderaan Perodua Alza tersebut.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.10 pagi apabila pihak Hospital Gerik memaklumkan tentang kemalangan jalan raya berimpak tinggi di kawasan berkenaan.

Pasukan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dengan kekuatan seorang pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 2.11 pagi.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbalik setelah bertembung dengan Perodua Alza.

Dalam perkembangan awal, dua mangsa wanita yang mengalami kecederaan – seorang patah tangan dan seorang lagi cedera di kepala – telah dihantar ke Hospital Gerik pada jam 2.28 pagi dan tiba kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu UPSI dalam hantaran Facebook turut mendoakan semoga dipermudahkan segala urusan buat pelajar yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Semoga dipermudahkan segala urusan buat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi ini,” katanya.-9/6/2025

BERITA LANJUT MENYUSUL

Read more

khabar terbaru