Setelah selesai menunaikan Haji Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil sekali lagi menerusi laman media sosialnya untuk menjelaskan keputusanya keluar dari UMNO dan hendak masuk PKR yang telah cetuskan polimek.
Tumpuan pertama kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ialah berkenaan desas-desus mengenai penyertaan dalam mana-mana pilihan raya kecil, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.
Ini sebagai menjawab spekulasi hangat yang berlegar mendakwa kemungkinan adanya pilihanraya kecil peringkat kerusi Parlimen untuk beri laluan kepadanya kekal dalam kabinet selepas tempoh tempoh perkhidmatan sebagai Senator tamat pada bulan Disember 2025.
Pada Disember ini beliau sudah menjadi Senator selama dua penggal dan mengikut peraturan tempoh itu tidak boleh dilanjutkan lagi.
Kedua ialah spekulasi yang juga cukup hangat mengatakan beliau akan bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Selangor untuk membolehkannya dilantik Menteri Besar ganti Datuk Seri Amiruddin Shaari.
Kemungkinan itu dikaitkan dengan langkahnya keluar UMNO untuk masuk PKR.
Ini kerana PKR menjadi tunjang lerajaan negeri Selangor.
Kata Tengku Zafrul,” saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.
Katanya beliau sendiri sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan pilihanraya kecil PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit Rakyat.
“Saya akan terus melaksanakan tugas saya sebagai seorang Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan bulan Disember 2025.
Berkenaan kedudukanya sebagai seorang Menteri,beliau menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,”katanya.
Mengenai keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi beliau sepenuhnya, bukan atas sebarang paksaan.
“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.
“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini.
“Sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, sahabat-sahabat MKT UMNO, seluruh akar umbi terutama UMNO Bahagian Kota Raja, dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh saya bersama UMNO.
Doakan saya terus istiqomah dalam perjuangan berbekal semangat baharu sesudah pulang dari Tanah Suci Mekah,”katanya.- 9/6/2025