Asalnya perbicaraan kes saman bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual dijadual bermula pada Isnin, 16 Jun ini.
Namun ia terpaksa ditangguhkan ekoran dari keputusan terbaru yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada hari ini,Selasa.
Mahkamah berkenaan telah membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes itu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Supang Lian memerintahkan semua prosiding termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara, sehingga perbicaraan penuh penangguhan didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini di mahkamah sama.
Ini bermakna sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes berkenaan cuma akan diketahui 21 Julai ini.
Hakim Supang Lian berkata keputusan itu dibuat sebulat suara.
“Setelah mendengar hujahan peguam perayu dan responden, kami berpendapat bahawa bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah ad-interim bagi mengekalkan integriti permohonan penangguhan oleh perayu, sementara menunggu pelupusan permohonan penangguhan tersebut.
“Oleh itu, kami dengan ini mengeluarkan perintah ad-interim untuk menangguhkan semua prosiding, termasuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, sehingga pelupusan permohonan penangguhan oleh perayu,” katanya.
Perbicaraan kes itu pada asalnya ditetapkan pendengaran di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun ini.
Sebelum itu Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan oleh Muhammed Yusoff.
Berikutan itu pasukan peguam Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan kes saman. – 10/6/2025