Tuesday - 10, June 2025

Isu kilang ‘vape’ ganja di Johor… Kabinet akan buat keputusan kata Menteri Kesihatan

Share

Jemaah Menteri akan membuat keputusan bersama berhubung kontroversi melibatkan kilang ‘vape’ atau rokok elektronik milik syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang dilaporkan mengeluarkan peralatan berkaitan ganja di Johor, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kami akan bentangkan perkara ini kepada Kabinet terlebih dahulu dan keputusan akan dibuat secara kolektif,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia ke-31 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Jun.

Menurutnya, beberapa kementerian dan agensi lain turut terlibat dalam perkara itu termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), lapor The Star.

Isu tersebut timbul susulan gesaan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perikatan Nasional, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, supaya polis menyiasat sebuah kilang di Senai, Johor, yang dikendalikan oleh Ispire Technology Inc – sebuah syarikat tersenarai di Nasdaq, berpangkalan di California.

Dr Ahmad Yunus, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, mendakwa lesen pembuatan yang diberikan kepada Ispire oleh Mida menimbulkan persoalan sama ada ia turut meliputi pengeluaran produk berkaitan ganja yang jelas menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kilang tersebut dilaporkan sebagai pemegang lesen persekutuan pertama di Malaysia yang dibenarkan menghasilkan produk nikotin.

Walaupun penjualan cecair nikotin kini dikawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam, perdebatan kini tertumpu kepada skop sebenar lesen berkenaan serta pemantauan terhadap bahan yang mungkin berkaitan dengan ganja.

Untuk makluman, Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengenakan larangan terhadap penjualan dan penggunaan ‘vape’ mulai 1 Januari 2016.-9/6/2025

Read more

khabar terbaru