Hampir separuh dari sasaran jumlah titik akses Wi-Fi yang hendak dipasang di semua universiti awam di seluruh negara sudah beres.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil kata setakat ini di seluruh negara daripada 32,000 Wi-Fi yang hendak dipasang di semua universiti awam, lebih kurang 13,000 ke 14,000 telah dipasang.
Menurutnya dalam usaha meningkatkan capaian Internet di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA)fasa pertama pemasangan kemudahan itu di universiti-universiti awam sudah selesai manakala fasa kedua sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh sehingga enam minggu lagi.
“Setelah kita selesai fasa kedua, ada beberapa perkara perlu dibincangkan dengan pihak universiti, selain daripada kita meneliti dalam fasa pertama dan kedua sekiranya perlu ada penambahbaikan dalam kampus masing-masing, maka itu akan disertakan dalam fasa ketiga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Fahmi beritahu demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Suara, Siber dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok pada Selasa.
Beliau berkata fasa ketiga pelaksanaan pemasangan Wi-Fi di universiti awam pula dijangka dimulakan dalam tahun ini juga selepas selesai fasa kedua.
Fahmi berkata kementerian akan mengadakan perbincangan dengan universiti terbabit bagi pengesahan lokasi untuk pemasangan Wi-Fi sebelum mengeluarkan tender.
“Jadi insya-Allah kita juga akan pastikan masalah Wi-Fi di UUM akan diberi fokus dalam fasa ketiga pelaksanaan pemasangan Wi-Fi di universiti-universiti awam dan saya telah mendapat pengesahan daripada pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) bahawa UUM antara tempat utama,” katanya.
Beliau berkata selain universiti awam, kementerian juga melaksanakan program sama di politeknik dan kolej komuniti.
Mengulas mengenai forum tersebut, Fahmi berkata ia merupakan satu platform dalam memberi penegasan kepentingan keseimbangan antara kebebasan media, hak bersuara dan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Harapan saya dengan program seperti ini kita akan dapat tingkatkan perbincangan terutama di universiti-universiti awam.
“Dengan cara itu, dalam kalangan pelajar mereka akan terdedah terutama dengan pemain industri media dan mereka boleh mendengar sendiri realiti apa yang sedang berlaku dalam perubahan yang sangat rancak dengan kehadiran kecerdasan buatan, media sosial dan cabaran-cabaran lain bagi media arus perdana,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong. -10/6/2025