Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan MADANI amat komited menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa tetapi pembaharuan untuk memerangi ancaman ini akan memerlukan sedikit masa untuk mencapai hasil.
“Tiada patah balik. Apa yang saya pasti adalah setiap bulan dan setiap tahun mesti ada sedikit kemajuan dalam menangani isu ini,” kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ada sesetengah pihak yang tidak sabar dan mahukan pembaharuan yang cepat , tetapi mereka sebenarnya “tidak melihat fakta dan realiti sebenar.”
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan MADANI perlu melakukan pembaharuan sedemikian secara bijak dan berhikmah, justeru sebagai kerajaan campuran, mereka perlu saling bekerjasama antara satu sama lain.
“Dan kita bertuah, kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini telah menjadi salah satu teras utama yang komited kepada pembaharuan dan sokongan ini.
“Tetapi kita tidak boleh ambil mudah, kerana proses rundingan, perbincangan dan libat urus amat penting,” kata beliau.
Anwar berkata demikian menerusi ucaptama beliau pada majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE), di Kuala Lumpur Selasa.
Beliau berkata penting untuk melakukannya secara berperingkat dan mendapatkan konsensus antara pihak-pihak berkepentingan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri juga menekankan kepentingan tadbir urus yang betul untuk memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi sama ada sesebuah negara itu mengamalkan sistem perbankan Islam atau sistem konvensional atau kedua-duanya sekali seperti di Malaysia.
Menurut beliau, dasar makroekonomi dan tadbir urus negara perlu mampan dan jelas yang menggalakkan pembangunan dan dalam masa sama mengelakkan ketirisan kewangan serta rasuah endemik.
“Jika diikutkan, negara-negara Islam tidak miskin, tetapi kemiskinan itu berpunca daripada kecenderungan menggunakan kuasa dan keistimewaan untuk menyelewengkan kekayaan,” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang jurang kemiskinan meluas antara jantina dalam kalangan negara-negara Islam, namun berkata Malaysia bernasib baik kerana tidak mengalami masalah seperti itu.
Menurut Anwar, Kerajaan Perpaduan Madani terus komited menyokong kajian dan penyelidikan serta membenarkan ekonomi Islam dan instrumen Islam diamalkan, disokong dan diperluaskan.
Oleh itu, beliau menyeru tokoh bank, ahli akademik, ilmuan, golongan profesional dan cendekiawan Islam agar tidak mengabaikan kepentingan menjalankan tadbir urus yang betul dan baik semasa melakukan pembaharuan dalam disiplin berkaitan.
“Melalui tadbir urus yang baik dengan dasar dan instrumen yang jelas, institusi mesti melindungi sistem daripada keadaan berlebihan,” kata Anwar.
Dengan cara ini, negara akan berkembang dan memiliki kapasiti untuk menarik pelaburan langsung asing dan menembusi pasaran baharu sebagai negara perdagangan.
Beliau menyifatkan industri halal global mempunyai potensi besar dengan nilai menjangkau sehingga AS$3 trilion (AS$1 = RM4.23), namun menegaskan ini tidak akan bermakna sekiranya kita tidak melibatkan diri dan berusaha menembusi dan berkembang ke pasaran baharu.
Menurut beliau, Malaysia muncul sebagai pusat pensijilan halal utama yang dicemburui oleh negara lain yang ingin belajar dan berkongsi kepakaran dengan negara, yang mana dalam proses itu akan membantu membangunkan hubungan dengan usaha niaga halal di peringkat global. – BERNAMA – 10/6/2025